Gadis-Gadis Yang Dipeluk Artis K-Pop Perlu Bertaubat

SHAH ALAM: Pendakwah bebas Ustaz Dr Zaharuddin Abd Rahman menasihatkan agar gadis-gadis Melayu muslim yang dipeluk dan dicium oleh anggota kumpulan K-Pop B1A4 segera bertaubat.

 

Jelasnya, sebagai muslimah seharusnya gadis yang dipaparkan dalam video kontroversi dan menjadi viral di Facebook itu mengetahui akan batas-batas pergaulan bukan hanya menggunakan konsep fesyen untuk menutup aurat.

 

“Tudung yang sepatutnya menutup aurat tubuh dari dilihat, nampaknya hanya sekadar hiasan dan fesyen hingga membiarkan diri disentuh dan dipeluk cium.

 

“Video ini telah tersebar dan si pelakunya juga tahu program ini tersiar langsung di media maka siarannya di sini tiada membuka aib pelakunya.

 

“Taubat wajib bagi mereka yang terlibat namun malang kerana video dosa mereka bakal tersebar selagi wujud youtube,” katanya menerusi posting daripada akaun Facebooknya semalam.

 

Semalam, satu video yang memaparkan beberapa gadis Melayu dipeluk dan dicium kumpulan B1A4 ketika persembahan di ibu kota baru-baru ini mengundang kritikan hebat pelayar internet.

 

Rata-rata mendakwa gadis-gadis tersebut mencemar imej Islam kerana membenarkan diri mereka diperlakukan sedemikian hanya kerana taksub kepada kumpulan pop Korea itu.

 

Gadis-gadis itu dipersalahkan kerana mengenepikan persoalan hukum, dan tidak kurang ada yang menyifatkan artis K-pop berkenaan ‘tidak bersalah’ kerana mereka mungkin tidak memahami ajaran Islam dan sensitiviti penganutnya di negara ini.

 

Video berdurasi 3.21 minit itu jelas memperlihatkan beberapa gadis Melayu kelihatan teruja apabila berada di atas pentas bersama kumpulan berkenaan, sehingga bertindak memeluk anggota kumpulan berkenaan.

 

Dalam masa sama Zaharuddin mengecam keras program yang dianjurkan di KL Live Center itu turut menyifatkannya sebagai pengaruh buruk kepada masyarakat dalam negara generasi muda khususnya muslim yang cenderung liberal.

 

“Astaghfirullahal ‘Azim, program K POP ini baru benar-benar gerakan liberal atau lebih teruk dari liberal. Jauh lebih teruk dari memeluk anjing,” tegasnya.

 

Beliau dalam masa yang sama menempelak bapa atau suami kepada gadis yang dipeluk itu kerana membiarkan perlakuan sedemikian sehingga aibnya dijaja apabila videonya tersebar luas.

 

“Bapa dan suami menjadi dayus dengan membiarkan anak gadis atau isterinya diperlakukan sedemikian, Gadis menjadi hilang bermaruah malah bergembira secara terbuka melakukan dosa. Biarkan diri dicabul atas nama suka dan disorak pula,” tambahnya.

 

Justeru beliau mahu agar media selain ulama dan tokoh termasuk pihak berkuasa membuat liputan meluas tentang kecaman program sebegini agar ia tidak berulang lagi kelak.

 

Untuk rekod, sesi kumpulan Kpop itu bertemu peminat dianjurkan oleh ACER, dengan mengenakan caj tiket bermula daripada RM199 hingga RM799. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.