Fizz, Almy Teruja Nanti Kelahiran Puteri Sulung

SETIAP pasangan yang berkahwin pasti mengimpikan kehadiran cahaya mata sebagai pelengkap rumah tangga yang dibina.

Begitu jugalah yang kini dirasai dan dilalui oleh pasangan pelakon Fizz Fairuz dan Almy Nadia yang menghitung hari menantikan kelahiran anak sulung mereka.

 

Almy yang kini sarat hamil lapan bulan dijangka melahirkan seorang puteri pada hujung Februari depan.

 

Berkongsi persiapan dan perasaan keduanya, Almy berkata, segala persiapan sudah dilakukan dan dia akan melahirkan anaknya di sebuah hospital swasta di Setapak, sebelum pulang ke kampung untuk menjalani tempoh berpantang.

 

“Alhamdulillah setakat ini segala persiapan dan barang bayi sudah di beli. Bayi sihat sahaja dan bila melakukan imbasan, beberapa kali doktor kata anak perempuan, tapi tak tahulah pula nanti kalau keluar lelaki pula.

 

“Bagaimanapun saya risau juga kerana bulan lepas dia masih dalam kedudukan songsang, harap-harap nanti dia akan berada di kedudukan yang betul kerana saya berharap untuk bersalin normal.

 

“Setakat ini apa yang saya idamkan sudah dapat kecuali buah kundang. Puas juga Fizz cari di merata tempat, tapi kerana tidak bermusim, jadi belum dapat lagi,” katanya yang mengalami peningkatan berat badan sebanyak 26 kilogram (kg) sejak hamil.

 

Berkongsi pengalaman sepanjang kehamilannya, Almy sama seperti kebanyakan bakal ibu lain, dia hanya mengalami alahan pada tiga bulan pertama kehamilannya sahaja.

 

Bagaimanapun ketika usia kehamilannya mencecah enam bulan, dia mengalami satu peristiwa yang tidak dapat dilupakan.

 

“Ketika itu saya tinggal seorang di rumah, kemudian saya terdengar bunyi orang mengetuk pintu gelongsor rumah. Saya ada jenguk tapi tidak pula nampak sesiapa, jadi saya ingat mungkin angin.

 

“Seminggu selepas itu saya mengalami bintik-bintik merah di bahagian tangan dan muka, bila pergi ke klinik serta hospital mereka kata saya alahan dan diberikan suntikan, tetapi tidak berkurangan.

 

“Jadi Fizz panggil abang saya ke rumah, kemudian bila dia lihat, dia kata saya ‘ditegur’ puntianak.  Kemudian dia buatkan saya air dan sapu di muka, selepas itu kulit saya berubah seperti udang dibakar, tidak lama selepas itu ia beransur pulih,” katanya.

 

Dek kerana kejadian itu, Fizz berkata, dia tidak lagi meninggalkan Almy berseorangan di rumah.

 

“Memandangkan kini dia mungkin melahirkan anak pada bila-bila masa, jadi saya bawa sahaja dia ke mana sahaja.

 

“Selain itu sekarang Almy yang membantu menyusun jadual saya, jadi sebab itu saya selesa dia ikut saya ke mana sahaja,” katanya.

 

Sementara itu, Almy berkata, dia akan kembali aktif sebaik melahirkan anak, namun akan memastikan dia mendapat berat asalnya iaitu 56 kg.

Rezeki anakDalam pada itu, berkesempatan bertemu aktor berusia 35 tahun ini dalam pelancaran Go Motorshow Malaysia (GoMoMa) yang memperlihatkan Fizz menjadi duta, Fizz berkata, apa yang diterimanya pada hari ini adalah rezeki anak yang bakal lahir itu.

“Alhamdulillah saya akan menjadi duta GoMoMa dari 2015 hingga 2017. GoMoMa adalah sebuah program yang akan menghubungkan pemilik motosikal berkuasa tinggi menerusi program yang dianjurkan.

 

“Program tersebut akan berlangsung di beberapa lokasi di ibu negara dan Selangor selama tiga hari bermula 27 Mac depan menerusi pameran pelbagai jenis kereta dan motosikal selain mendedahkan aspek keselamatan berkaitannya.

 

“Program ini adalah idea Tengku Besar Putra Selangor, Tengku Ismail selaku Ahli Dewan Diraja Selangor untuk bertemu rakyat,” katanya yang turut menerima sebuah motosikal berkuasa tinggi daripada penganjur.

 

Fizz yang dilihat semakin kurus kini mengakui sibuk dengan jadual penggambaran dan program GoMoMa menganggap segala kerja kerasnya kini untuk kesenangan anaknya kelak. – Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.