Dalam Hadapi Ancaman Keganasan, Bukan Sekadar Memerlukan Akta Undang-Undang – Chegu Bard

Kuala Lumpur – Kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam laman Twitter semalam yang mengatakan keperluan terhadap Akta Hasutan disebabkan daripada insiden Charlie Hebdo itu disifatkan sebagai separuh masak.

 

Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin berkata, dalam menghadapi ancaman keganasan pelampau agama dan rasis bukanlah sekadar hanya memerlukan Akta Undang-Undang semata-mata tetapi juga tindakan tidak selektif Polis Diraja Malaysia dan Pejabat Peguam Negara juga amat diperlukan.

 

Menurutnya, tanpa tindakan neutral daripada dua agensi ini, penguatkuasaan undang-undang dan membanteras perkara ini tidak juga akan berlaku dengan tuntas.

 

“Kita telah melihat bagaimana pejabat Peguam Negara gagal mengambil tindakan terhadap Ibrahim Ali yang telah mengeluarkan kenyataan yang mengancam dan mengugut agama lain,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tambah Badrul atau juga dikenali sebagai Che’GuBard berkata dunia Barat terus-terusan memunculkan gerakan Islamophobia dengan pelbagai tekanan sama ada berbentuk kenyataan, tulisan, perundangan dan sebagainya oleh kelompok majoriti terhadap minoriti Muslim.

 

Jelasnya, ia akhirnya telah memunculkan satu bentuk fahaman separuh masak dalam aspek jihad dan mempertahankan Rasulullah S.A.W yang mana akhirnya telah melahirkan reaksi ganas dan melampau ini.

 

“Sama ada di Perancis, London ataupun Madrid, insiden ini adalah berpunca daripada siri kenyataan dan tindak tanduk tidak sensitif kelompok majoriti terhadap sentimen dan perasaan kelompok minoriti.

 

“Di Malaysia hakikatnya kita sedang mengulangi apa yang dibuat Barat dalam isu Islamophobia iaitu tidak mempedulikan sentimen minoriti. dan apa yang akan terjadi jika minoriti ini mengambil tindakan sama seperti segelintir pelampau Muslim di Barat?” soalnya.

 

Katanya lagi, insiden yang berlaku ke atas kakitangan majalah satira, Charlie Hebro itu adalah satu bukti kegagalan unit risikan badan penguatkuasa undang-undang.

 

Ujarnya, iaa juga satu manifestasi reaksi kelompok minoriti terhadap segala ancaman, ugutan dan tekanan yang dihamburkan kepada mereka oleh majoriti.

 

“Inilah yang sepatutnya kita ambil perhatian dan pengajaran bukannya tampil dengan kenyataan untuk menghalalkan Akta drakonian.

 

“SAMM menasihatkan Ketua Polis Negara agar memahami perkara ini dengan jelas dan menasihatkan dirinya dan pasukannya serta Pejabat Peguam Negara agar tidak mencontohi dunia barat yang hanya sekadar mempertahankan kelompok majoriti tanpa ada sekelumit rasa untuk mempertahankan kelompok minoriti.

 

“Rasa amarah yang dipendam untuk tempoh yang lama adalah sangat memudaratkan jika ia meletus,” tegasnya. – RakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.