Bantuan Ihsan Banjir Akan Diagihkan Dalam Masa Terdekat

KOTA BHARU 11 Jan. – Mangsa banjir yang berpindah ke pusat pemindahan yang digazetkan di negeri ini akan menerima bantuan ihsan sebanyak RM500 untuk fasa pertama dalam masa terdekat.

 

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Bersama Pasca Banjir Negeri Kelantan di sini hari ini, senarai nama mangsa tersebut perlu dikemukakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) kepada jawatankuasa itu selewat-lewatnya Jumaat ini.

 

Bantuan ihsan untuk mangsa banjir yang berpindah ke rumah saudara mara atau pusat pemindahan yang tidak digazetkan serta tidak berpindah tetapi terkepung dalam bencana alam itu akan diberikan dalam fasa berikutnya.

 

“Semua mangsa banjir layak menerima bantuan ihsan sebanyak RM500 berdasarkan tiga kategori tersebut dan senarai penerima bantuan ihsan ini akan dimuktamadkan oleh wakil-wakil akar umbi mewakili Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri.

 

“Nama penerima yang layak untuk bantuan itu akan dipamerkan di Pejabat Tanah dan Jajahan serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

 

“Mana-mana mangsa banjir yang tercicir daripada senarai nama yang dimuktamadkan boleh mengemukakan rayuan untuk dipertimbangkan bagi menerima bantuan ehsan,” kata kenyataan itu.

 

Keputusan tersebut adalah hasil daripada mesyuarat pertama Jawatankuasa Bersama Pasca Banjir Negeri Kelantan di Kompleks Pentadbiran Kota Darulnaim pada petang semalam.

 

Jawatankuasa itu dipengerusikan bersama oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

 

Menurut kenyataan itu lagi, mesyuarat tersebut turut memutuskan senarai rumah yang musnah sepenuhnya perlu disediakan melalui perbincangan di antara wakil-wakil akar umbi mewakili Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri.
“Senarai ini akan dipamerkan dan mana-mana mangsa yang tidak berpuas hati boleh membuat rayuan.

 

“Penempatan akan dilaksanakan sama ada oleh Kerajaan Pusat, Kerajaan Negeri, Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK), NGO atau individu.

 

“Penempatan serta-merta akan dilaksanakan oleh MKN manakala penempatan sementara dan kekal akan dilaksanakan oleh Kerajaan Pusat, Kerajaan negeri, MAIK, NGO dan individu,” kata kenyataan itu.

 

Jawatankuasa itu akan berkongsi maklumat mengenai tabung-tabung yang telah ditubuhkan bagi membolehkan keputusan dibuat mengenai agihan pembinaan rumah kekal di antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri. – Utusan Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.