Memburu misteri Naga dan Lintah di Hutan Temerloh

Oleh: Cikgu Tuan Hazlin Tuan Rosli

PAHANG sememangnya kaya dengan kepelbagaian cerita rakyat dan nilai sejarah yang tersingkap disetiap daerahnya baik yang terus dipertahankan mahupun kian dilupakan.

Malah negeri yang terkenal dengan jolokan Tok Gajah itu turut kaya dengan hutan khatulistiwa yang menghijau serta tempat untuk ribuan spesies tumbuhan dan herba yang belum diterokai.

Kali ini Team Busut menyelusuri Sungai Pahang bagi menjejak besi bay-route (struktur binaan besi yang di kenali sebagai stesyen trigonometri) di daerah Temerloh.

Misi pertama kami pada pagi itu ialah ke Bukit Paya Lintah yang terletak di Kampung Bangau Parit.

Selain memburu bay-route yang digelar sebagai ‘ketupat besi’, kami turut berhasrat untuk meninjau sendiri kisah-kisah menarik yang terdapat di kawasan tersebut.

Dapatan yang diperolehi mendakwa, di kampung tersebut terdapat beberapa kubur lama yang mempunyai keramatnya.

Kubur Panglima Bagus

Menurut penduduk tempatan kubur tersebut milik salah seorang alim ulama terkenal sekitar 1700 yang mana sehingga hari ini tiada siapa yang tahu ia milik siapa.

Namun berdasarkan penyelidikan yang dibuat oleh pengkaji sejarah, mereka mendakwa kubur tersebut milik Panglima Bagus anak kepada Datuk Matang salah seorang bangsawan dari negeri Perak.

Seorang pengkaji sejarah Zainal Abidin Lebai Hassan turut mendakwa, Panglima Bagus merupakan anak seorang bangsawan Perak yang dilahirkan sekitar tahun 1700 lalu.

Beliau adalah seorang perantau yang mempunyai ilmu persilatan yang tinggi, yang kemudiannya berkahwin dengan anak Datuk Suji Bilang, Tok Kaya di Temerloh.

Selepas berkahwin, Panglima Bugis kemudiannya membuka sebuah kampung di satu kawasan berhampiran dengan Kampung Tebal dan Tanjung Batu.

Kampung tersebut dinamakan sebagai Kampung Kuala Temerloh. Setelah kematianya, beliau telah disemadikan di salah sebuah kawasan yang kini merupakan kebun kelapa sawit di Kampung Bangau Parit.

Team Busut dalam misi menjejak besi bay-route (struktur binaan besi yang di kenali sebagai stesyen trigonometri) di hutan Temerloh.

Bukit Paya Lintah

Berbalik kepada misi pendakian Team Busut, hasrat untuk menjejak ‘ketupat besi’ di kawasan tersebut tercetus hasil perbualan dengan salah seorang kenalan di laman Facebook.

Dia yang di kenali dengan panggilan Cikgu Awi berkata di kampung tersebut terdapat sebuah bukit kecil yang mempunyai ‘ketupat besi’.

Namun perlu menjaga adap dan tutur kerana kawasan tersebut dikatakan agak ‘keras’.

Menurut Cikgu Awi lagi salah seorang kenalannya pernah demam sebaik turun dari bukit tersebut.

Laluan masuk ke kaki Bukit Paya Lintah agak mengelirukan kerana hanya terdapat satu laluan denai sahaja.

Ini kerana bukit tersebut di kelilingi hutan paya bakau yang tebal.

Setelah puas mencari dan dengan hanya berpandukan peta topografi kami akhirnya berjumpa dengan laluan denai yang di maksudkan itu.

Di tengah-tengah jalan tersebut juga terdapat satu palang besi yang berkunci bagi menghalang sebarang kenderaan masuk.

Ia untuk mengelakkan berlakunya sebarang kegiatan mencuri balak. Malah pemerhatian yang di lakukan, terdapat banyak kesan pembalakan di lakukan sehingga menyebabkan kawasan hutan simpan itu menjadi hampir gondol.

Perjalanan agak perlahan dan berhati-hati, kerana kami difahamkan kawasan paya tersebut merupakan sarang untuk buaya bertelur.

Sampai di pertengahan jalan, kami kemudiannya mengambil satu simpang ke kanan yang menuju ke puncak bukit.

Tidak jauh dari simpang tersebut, kami akhirnya tiba di puncak Bukit Paya Lintah.

Walaupun struktur bay-routenya agak senget, namun itu sudah cukup memberikan kepuasan buat kami.

Berdasarkan bacaan peta, bukit tersebut hanya mempunyai ketinggian sekitar 60 meter.

Setelah membersihkan kawasan sekitar dan merakamkan gambar kenangan, kami segera bergerak turun.

Alhamdulillah, tiada sebarang kejadian yang aneh berlaku sepanjang pendakian tersebut.

Bukit Naga Mengulur

Kami kemudiannya meneruskan misi kedua ke Kampung Teluk untuk menjejaki ketupat besi yang terdapat di puncak Bukit Naga Mengulur.

Mengikut mitos, ketika banjir besar yang melanda sungai Pahang suatu ketika dahulu, penduduk kampung pernah ternampak kelibat naga keluar dari bukit tersebut.

Disebabkan cerita itu juga, bukit tersebut akhirnya di panggil sebagai Naga Mengulur.

Permulaan pendakian, kami terpaksa melalui kawasan kebun getah penduduk tempatan.

Laluan agak landai dan mudah, namun kami terpaksa berdepan dengan serangan nyamuk.

Walaupun sedikit perit dan gatal kesan dari gigitan nyamuk, tapi ia langsung tidak melemahkan semangat kami untuk menjejaki ketupat besi.

Kami kemudiannya tiba di pintu rimba dan di sebabkan keadaan hutan yang tidak begitu tebal, pendakian kami menjadi sedikit mudah.

Tidak lama selepas itu, kami akhirnya berjaya tiba di puncak bukit Naga Mengulur dengan ketinggian sekitar 87 meter.

Sama seperti sebelumnya, struktur ketupat besi di sini juga agak bengkok dan hampir menyembah bumi.

Selain mitos di sebalik namanya, dua bukit yang kami tawan ini mempunyai keunikan yang tersendiri berbanding tempat lain.

Ini kerana walaupun mempunyai ketinggian di bawah 100 meter, dua bukit ini mempunyai bay-route yang berbeza dari segi saiz dan bentuknya.

Walau apa pun kisah di sebaliknya, apa yang pasti Team Busut telah berjaya menjejaki ‘ketupat besi’ yang merupakan tinggalan sejarah British di puncak ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.