Mesir Bina Ibu Kota Baharu Ganti Kaherah

KAHERAH – Di sebuah gurun di timur Mesir, kerajaan sedang membina sebuah ibu kota pentadbiran baharu, projek yang sekian lama diimpikan setelah gagal pada masa lalu.

Bandar raya itu akan dilengkapi dengan hotel mewah, kejiranan selesa, sebuah lapangan terbang moden dan sebuah menara setinggi 345 meter sekali gus tertinggi di Benua Afrika, lapor Kosmo.

Kerja-kerja pembinaan sedang dilakukan di kawasan sekitar 45 kilometer ke timur Kaherah, di antara jalan-jalan yang menghubungkan kota metropolis itu dengan bandar terusan Suez dan resort pelancongan Ain Sokhna.

Pekerja-pekerja membina sebuah daerah menempatkan sebuah Istana Presiden baharu, Parlimen, 32 kementerian dan kedutaan asing.

Projek itu yang dilihat mahal dan bukan keutamaan bagi rakyat Mesir, sukar untuk dijual terutamanya berikutan kegagalan inisiatif serupa pada masa lalu.

Pada tahun 2015, Presiden Mesir, Abdul Fattah Al-Sisi mengumumkan projek untuk membina ibu negara baharu itu yang dijangka menelan belanja sekitar AS$45 bilion (RM183.6 bilion) dan akan siap menjelang 2022, demikian menurut pihak berkuasa.

Kos tersebut mencetuskan banyak kemarahan di Mesir yang ekonominya dilanda krisis.

Fasa pertama pembinaannya dilancarkan secara rasmi pada Oktober lalu dengan ibu kota baharu itu boleh diperluaskan meliputi kawasan 170 kilometer persegi dan menempatkan lebih enam juta orang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.