Wanita Menyamar Jadi Isteri Timbalan Menteri Minta Wang Sumbangan

KUALA LUMPUR – Seorang ‘datin’ licik dikesan aktif menyamar sebagai isteri Timbalan Menteri Kewangan bertujuan mengutip derma haram serta meminta sumbangan daripada bank tempatan.

 

Wanita berusia 50-an itu mengaku kononnya isteri kepada Datuk Chua Tee Yong dan mahu menggunakan kutipan wang itu bagi membantu pesakit talasemia.

 

Tidak senang dengan tindakan suspek, Chua hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, semalam bagi membuat laporan polis terhadap kegiatan jenayah itu.

 

Chua yang ditemui berkata, kegiatan itu disedari selepas ketua pegawai eksekutif (CEO) bank terkemuka menghubunginya.

 

Menurutnya, CEO itu memaklumkan cek untuk beliau dan isterinya diluluskan serta boleh diambil bila-bila masa.

 

“Saya terkejut apabila menerima mesej WhatsApp itu sedangkan kami tidak pernah memohon sebarang sumbangan dari bank itu. Saya dimaklumkan cek berkenaan bernilai RM30,000.

 

“CEO itu menerangkan pihaknya menerima surat sebuah NGO yang memohon peruntukan RM30,000 dengan menggunakan nama saya dan isteri,” katanya.

 

Beliau berkata, dia dan isteri tidak mengenali NGO itu selain tidak pernah memohon atau membenarkan mana-mana individu serta agensi menggunakan namanya memohon peruntukan.

 

“Tidak cukup dengan itu, CEO itu memaklumkan seorang wanita menghubunginya dan mengaku sebagai isteri saya yang menghantar surat permohonan itu.

 

“Justeru itu, saya meminta bank membatalkan cek itu segera,” katanya.

 

Dia membuat laporan supaya namanya tidak digunakan pihak lain demi kepentingan sendiri. – HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.