Umat Islam Dituntut Bersatu, Elak Cela Sesama Sendiri

KUALA LUMPUR – Umat Islam di seluruh negara diminta supaya tidak mencari kesalahan sesama mereka dan mencela antara satu sama lain, sebaliknya bersatu hati untuk menentang anasir yang cuba merosakkan agama.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Jamil Khir Baharom ketika menyampaikan khutbah Jumaat hari ini, berkata perbuatan itu menjadi sebahagian daripada prasyarat bagi mendapatkan kemenangan di sisi Allah selain mendaulatkan agama Allah serta mempertahankan Islam sebagai agama rasmi negara.

 

“Firman Allah bermaksud janganlah kita berbantah-bantah, bergaduh dan berkelahi antara satu sama lain, maka kamu akan menjadi kelompok yang gundah-gulana dan gementar serta menghilangkan kehebatan umat Islam di bumi Malaysia ini,” katanya.

 

Lebih 5,000 jemaah, termasuk Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menunaikan solat Jumaat di Dewan Tun Abdul Razak 2, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang diimamkan oleh Imam 1 Masjid Ara Damansara Ustaz Mohd Shukri Ali.

 

Semua jemaah kemudian turut menunaikan solat sunat hajat selepas menunaikan solat fardu Jumaat bagi memohon pertolongan Allah dalam menghadapi cabaran yang dihadapi umat masa kini. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.