Tiada Lagi Pentas? Ella Menyanyi Di Stesen LRT

KELANA JAYA ― Bukan kelaziman apabila ratu rock negara Ella menghiburkan peminat-peminatnya di platform tempat menunggu LRT di stesen Kelana Jaya di sini.

 

Walaupun dalam keadaan cuaca yang panas, penyanyi berusia 46 tahun itu tetap mempersembahkan nyanyian lagu terbarunya “Teristimewah” dengan cukup baik buat peminat-peminatnya.

 

Bahkan, lagu dan lirik ciptaan sepenuhnya Sam Bunkface itu turut dinyanyikan bersama peminat-peminatnya yang menunggu seawal jam 2 petang lagi, kira-kira sejam sebelum persembahannya.

 

Ella, ketika ditemui pemberita, memaklumkan beliau kini sedang sibuk mempromosikan lagu “Istimewah” yang akan dimuatkan dalam album terbarunya bulan depan.

 

“Insya Allah album akan keluar Januari nanti, dan lagu ‘Istimewah’ juga dimuatkan dalam album itu,” kata penyanyi itu, yang berkecimpung dalam industri hiburan selama 28 tahun.

 

Ditanya judul album terbarunya, Ella enggan mendedahkannya, sebaliknya meminta peminat menunggu pengumuman rasmi mengenai albumnya nanti.

 

“Itu rahsia, peminat kena tunggu!” ujar penyanyi kelahiran Pulau Pinang itu dengan tawa kecil.

 

“Istimewah” itu gabungan perkataan-perkataan istimewa dan mewah. Ia diabadikan sebagai penghargaan kepada mereka yang dekat di hatinya, termasuk rakan-rakan dan peminatnya.

 

Ella sebelum ini dikenali dengan beberapa lagu hits “Rama-Rama”, “Simbiosis”, “Gemilang”, “Nuri” dan “Sehelai Baldu Biru” (duet bersama Awie).

 

Ella, nama glamor Norzila Aminuddin, mengadakan persembahan itu di sini semalam bagi mempromosikan aplikasi terbaru Samsung Sony Music.

 

Dilancarkan pada 4 Disember lalu di Kuala Lumpur, aplikasi syarikat itu juga diiklankan di gerabak-gerabak LRT.

 

Ditanya mengenai kempen tersebut, kata Ella, peminat boleh mendapatkan lagu-lagunyanya dengan memuat turun aplikasi itu di Google Play Store.

 

“Ini sesuatu yang baru bagi peminat-peminat Ella yang gunakan telefon Samsung. Mereka boleh gunakan apps (aplikasi) dari jenama Samsung sendiri untuk dengarkan lagu-lagu Ella,” katanya.

 

Sabhi Sadhi, DJ Bate, dan Bell Yu Tia antara artis yang memeriahkan program berkenaan petang semalam. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.