Tengku Razaleigh Sokong Kerjasama UMNO, PAS

KUALA LUMPUR – Veteran Umno, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah menyokong cadangan kerjasama antara UMNO dan PAS seperti mana yang disebut Datuk Seri Najib Razak, semalam.

 

“Saya fikir ia satu tawaran yang baik,” katanya ketika ditemui selepas perbahasan Perhimpunan Agung Umno 2015 (PAU2015), pagi tadi.

 

Bagaimanapun Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, cadangan kerjasama itu bergantung kepada akar umbi kedua-dua parti berkenaan.

 

“Ia bergantung sama ada akar umbi kedua-dua parti daripada kedua-dua peringkat menyokongnya,” katanya.

 

Beliau berkata demikian, apabila diminta mengulas tawaran Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak semalam yang menghulurkan tali silaturahim kepada PAS untuk sama-sama membina dan membangunkan negara ini mengikut syariat Islam.

 

Najib yang juga Perdana Menteri berkata demikian dalam ucapan dasarnya selepas merasmikan Perhimpunan Agung UMNO 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam.

 

Dalam perkembangan yang sama, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam kenyataan malam tadi menerima pelawaan itu dengan bersyarat.

 

Menurutnya, kerjasama tersebut boleh terjalin sekiranya UMNO kembali kepada Islam.

 

Katanya lagi, sekarang merupakan masa yang sesuai bagi UMNO untuk kembali kepada Islam dalam setiap aspek perjuangannya.

 

Bagaimanapun, terdahulu, Datuk Ahmad Yakob berkata, kerja sama antara parti ini adalah perkara besar serta membabitkan dua dasar parti yang berlainan dan perlu juga dibawa ke muktamar PAS.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.