Red Giant Janji Hadiah Piala Malaysia Untuk Sultan Selangor

KEMARAU 10 tahun Piala Malaysia akan menjadi hadiah ulang tahun keputeraan ke-70 terindah buat Sultan Selangor, Sultan Sharufuddin Idris Shah sekiranya Gergasi Merah Kuning berjaya menjinakkan Skuad Hijau Kuning.

 

Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berharap Selangor dapat mengembalikan kegemilangan sukan bola sepak setelah 10 tahun gagal.

 

“Saya percaya dan yakin dengan latihan yang telah diberikan serta semangat yang telah ditunjukkan pemain, Insya-Allah kita dapat mengembalikan kegemilangan bola sepak dan merampas semula Piala Malaysia.

 

“Ini juga menjadi harapan besar Sultan Selangor yang cukup berminat dalam sukan bola sepak dan saya berharap seluruh pemain serta pegawai pasukan dapat menunjukkan semangat kesukanan tinggi pada hari Sabtu ini (esok),” katanya.

 

Beliau mendoakan kemenangan kali ini akan jadi hadiah buat Tuanku Sultan sempena Hari Keputeraan ke-70.

 

Sementara itu, adinda Sultan Selangor, Tengku Indera Setia, Tengku Ahmad Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, berkata, pasukan Selangor dan Kedah mempunyai kehebatan setanding.

 

“Dalam perebutan akhir Piala Malaysia kita tak boleh katakan Selangor atau Kedah kuat, cuma kedua-dua pasukan ada peluang setara. Kita tak boleh jangka siapa yang dapat menguasai perlawanan, permainan dan ambil peluang yg baik akan jadi juara.

 

“Tapi saya harapkan daripada pasukan Selangor sebab kita dah lama tak mengharungi Piala Malaysia. Ini peluang terbaik buat Selangor kerana kita bermain di laman sendiri,” katanya.

 

Beliau berharap The Red Giants akan dapat semangat dan pamer perlawanan yang baik dan bersih serta ambil peluang jaringkan gol.

 

“Apa-apa boleh terjadi walaupun kita ada kelebihan tapi kena ingat Kedah ada yang baik.

 

“Dalam saingan Piala Malaysia Kedah bermain dengan cemerlang dalam setiap saingan sebelum ini,” katanya.

 

Manakala Pengurus Pasukan The Red Giants, Amirudin  Shari berkata, pertembungan Sabtu ini cabaran besar buat Selangor meskipun berkelebihan berentap di laman sendiri.

 

“Saya kira ini cabaran getir namun begitu dengan kelebihan di tempat sendiri dan momentum sedia ada saya yakin kita boleh memecahkan kemarau kemenangan lebih 10 tahun lalu.

 

“Saya harapkan pemain-pemain fokus sepenuhnya dan mengekang kemaraan mereka dari awal,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.