Peniaga Low Yat Bimbang Pelanggan Melayu Lari Ke Mara Digital

KUALA LUMPUR — Peniaga Plaza Low Yat bimbang pusat gajet dan barangan telekomunikasi baharu Mara Digital yang menawarkan harga lebih rendah akan menyebabkan mereka kehilangan pelanggan Melayu.

 

Peniaga di Bukit Bintang, yang rata-ratanya Cina, risau pusat jualan yang dikuasai Bumiputera — asalnya digelar “Low Yat 2” — boleh menjejaskan perniagaan mereka.

 

Tambahan pula, menurut tinjauan Malay Mail Online, pengunjung Melayu mulai berkurangan sejak insiden kekacauan berlatarkan sentimen kaum pada Julai lalu.

 

“Secara jujur, ya sudah tentu kami sedikit bimbang. Sejak insiden itu, semakin kurang pelanggan Melayu. Malah hingga ke hari ini,” kata Kent, 27, seorang eksekutif jualan kanan Acer.

 

Mariza, eksekutif jualan Oppo berkongsi sentimen sama. Katanya, harga barangan di kedua-dua pusat IT mungkin tidak banyak bezanya tetapi sentimen kaum boleh menjauhkan orang Melayu dari Plaza Low Yat.

 

“[Boikot] masih berlaku. Kami melihat orang Melayu semakin sedikit di sini selepas insiden itu. Saya rasa kami tidak perlu berbohong.

 

“Ada kebimbangan [jika keadaan] ini akan berterusan, kami akan tewas kepada gedung baharu itu,” katanya kepada Malay Mail Online.

 

Mara Digital dibuka Selasa lalu oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas menteri itu berjanji membuka sebuah pusat IT khas untuk golongan Bumiputera.

 

Idea untuk membuka Mara Digital tercetus selepas berlaku salah faham susulan kes curi telefon di Plaza Low Yat sehingga menimbulkan pergaduhan di antara kumpulan Melayu dan peniaga Cina pada bulan Ramadan lalu.

 

Pusat baru gajet dan teknologi telekomunikasi itu yang terletak di aras tiga Menara Mara di Jalan Raja Laut di sini dibuka dari 10 pagi hingga 10 malam.

 

Diuruskan oleh syarikat WGN Scan Sdn Bhd, pusat itu menempatkan 11 kedai konsep, 20 kiosk, dua penyedia rangkaian internet, dan lima pengendali rangkaian telefon — semuanya dimiliki Bumiputera. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.