SonaOne Tepis Dakwaan Kaki Perempuan

Beberapa hari selepas kemenangan bersejarahnya di Anugerah Industri Muzik (AIM21) lalu, penyanyi Hip Hop SonaOne mengakui sudah mula merasakan impak populariti apabila kini semakin menjadi sebutan dalam kalangan peminat muzik tanah air.

Namun, ketika namanya mula mendaki kemuncak, timbul pula cerita negatif mengenai penyanyi berusia 26 tahun ini yang didakwa berperangai liar sehingga timbul kembali kisah silam kontrovesi pergaduhannya dengan seorang kerabat diraja termasuk dia adalah kaki perempuan.

“Ketika kejadian (pergaduhan) itu berlaku, saya adalah mangsa tetapi hal kontroversi itu sudah lama berlalu dan ia selesai. Begitu juga, saya bukan macam itu (kaki perempuan) apatah lagi saya menghormati perempuan.

“Terpulanglah apa orang nak kata tentang saya. Mereka boleh bercakap apa saja tentang saya asalkan ramai yang dengar dan boleh terima muzik saya,” katanya ketika ditemui pada sidang media single terbarunya Hakeleh di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pada AIM21 yang berlangsung pada malam Sabtu lalu, SonaOne mencipta sejarah sebagai pemenang apabila lagu ciptaannya, No More diangkat sebagai Lagu Terbaik. Lagu tersebut juga memenangi kategori Lagu Inggeris Terbaik selain Lagu Hip Hop Terbaik menerusi ‘Apa Khabar’ nyanyian bersama Joe Flizzow.

Mengulas lanjut kemenangannya itu, pemilik nama sebenar Mikael Adam Mohd Rafae ini menyatakan perasaan bersyukur dan masih terkejut dengan kejayaan itu. Impak kemenangannya pada malam itu, pengikut laman sosial Instagram (IG) miliknya juga meningkat secara mendadak hingga kini mencecah 22,000 pengikut.

“Saya masih cuba sesuaikan diri sejak ramai orang sudah mula mengenali saya. Lucu juga rasanya sebab pada malam itu pengikut di IG saya terus meningkat dari 18,000 kepada 22,000.

“Saya gembira apabila semakin ramai menerima kehadiran saya tetapi sejak awal masuk dalam industri muzik ini, saya bukan cari perhatian sesiapa sebaliknya mahu berkongsi tentang muzik saya kepada semua orang.

“Kemenangan ini memberi saya inspirasi untuk menghasilkan lagu yang lebih baik lagi,” katanya yang turut memaklumkan lagu No More sudah diperdengarkan kepada khalayak sejak dilancarkan setahun lalu.

Berkongsi lanjut mengenai pembikinan single Hakeleh, SonaOne menyatakan lagu tersebut berkisar dirinya yang berdarah kacukan dan kesungguhannya mahu bertutur dalam bahasa Melayu yang menjadi lagu bahasa Melayu pertama ciptaannya.

“Lagu ni tentang diri saya dan ramai menganggap semua penyanyi rap stereotaip tetapi saya cuba buktikan yang saya bukan sebegitu.

“Saya mahu menjadi diri sendiri. Walaupun orang lain berkata saya belagak, memang saya belagak tetapi sebenarnya dengan gaya muzik saya sendiri,” kata jejaka berdarah kacukan Melayu dan Perancis ini.

Katanya, dia mengambil masa selama 4 bulan untuk menghasilkan lagu ini dan banyak merujuk kamus atas alasan dia belum fasih berbahasa Melayu.

“Saya balik Malaysia sewaktu umur 11 tahun dan sejak itu saya mula belajar bercakap bahasa Melayu dari keluarga dan rakan.

“Perkataan Hekeleh itu sebenar saya pilih secara rawak. Ketika saya balik Malaysia, itu perkataan pertama yang saya dengar apabila ramai menggunakannya.

“Apabila keluar bersama rakan, mereka gemar menggunakan perkataan hekeleh sewaktu berbual-bual,”katanya.

Sejak lirik video rasmi Hakeleh dilancarkan di pada 18 November lalu, ia mendapat lebih dari 88,000 tontonan di YouTube dan berjaya menduduki tangga pertama di carta iTunes Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.