Projek Konsert Jelajah Wings Menakluk Kosmos Tiada Kena Mengena Dengan KRU – Awie

Petaling Jaya – Meskipun berdepan dengan isu cetak rompak yang mengganggu penjualan album ke-17 mereka berjudul Menakluk Kosmos pada Mei lalu, ia tidak mematahkan semangat kumpulan rock lagenda tanah air Wings menemui peminat dan membawakan buah tangan terbaru mereka menerusi Konsert Jelajah Wings Menakluk Kosmos.

Menurut vokalisnya Awie, mereka mahu melupakan isu tersebut dan memberi fokus pada persiapan konsert jelajah yang akan berlangsung bermula hujung Disember ini.

“Apa yang berlaku sudahpun berlaku, kita tutup cerita. Kami tidak mahu fikirkan lagi tentang isu tersebut dan berharap apa yang kami telah dilalui tidak akan berlaku lagi.

“Apa yang lebih penting sekarang, fokus kami pada konsert jelajah ini. Kami berjanji akan memberikan satu persembahan luar biasa kepada peminat dan kami mahu terus memartabatkan muzik rock & roll di Malaysia.

“Kami mahu menakluk semula peminat di lokasi konsert kami kali ini,” katanya ketika ditemui pada sidang media konsert tersebut di Kuala Lumpur, semalam.

Sementara itu mengulas lanjut mengenai ketiadaan logo KRU pada poster konsert kali ini, Awie menyatakan projek konsert ini tiada kena mengena dengan syarikat rakaman tersebut.

“Album Menakluk Kosmos adalah album pertama dan terakhir kami berkerjasama dengan mereka. Ini adalah projek Wings sendiri di bawah penganjuran Anggerik Event iaitu syarikat Joe dengan kerjasama penganjur Siaran 9.

“Memang salah satu tujuan konsert ini sebagai mempromosikan album Menakluk Kosmos. Jadi, sambil menghiburkan peminat, kami sendiri akan menjual secara langsung album itu,” katanya yang berharap perjalanan konsert ini berjalan lancar.

Konsert jelajah Wings ini akan bermula di Tapak Ekspo, Seberang Jaya, Pulau Pinang pada 27 Disember diikuti Stadium Tertutup Terengganu (9 Januari 2015) dan MITC Melaka (31 Januari).

“Kami akan ke tiga lokasi ini dahulu kemudian kami memang ada perancangan untuk membawa konsert jelajah ini ke Sabah, Sarawak dan mungkin di Singapura nanti,” katanya.

Sebelum ini, Wings yang sudah berjuang dalam industri muzik tempatan selama 30 tahun pernah mengadakan konsert berskala besar pada sekitar tahun 1991 menerusi album Jerangkung Dalam Almari, konsert Double Trouble (1993 dan 2010) dan Rockestra di Istana Budaya pada tahun lalu.

Dalam pada itu, gitaris Joe selaku pengarah muzik menyatakan konsert kali ini membelanjakan kos sebanyak RM500,000 ke RM600,000 untuk satu lokasi.

Dari aspek persembahan, mereka membawakan konsep ‘Back to Basic’ dan selain mendendangkan lagu dalam album Menakluk Kosmos, Wings berjanji akan membawakan kembali nostalgia peminat dengan lagu hits mereka.

Tiket konsert kali ini dijual pada harga RM75 manakala pakej Rock Zone dijual RM390.

Penonton yang membeli tiket berharga RM390 berpeluang menghadiri sesi bermesra bersama Wings termasuk menghadiri makan malam bersama anggota Wings dan cenderamata edisi terhad berupa baju T, loket, bag dan cakera padat album Wings Menakluk Kosmos.

Untuk tempahan tiket secara online layari www.ticket2U.biz atau melalui telefon 03-4026 5588 atau sebarang pertanyaan boleh menghubungi Zul di talian 012 266 6877 (whatsapp) atau layari www.sayap2wings.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.