Pembebasan Mangsa Culik Bukti Kewibawaan PDRM – MCPF

Kuala Lumpur – Kejayaan polis membebaskan pengusaha ikan dalam sangkar Chan Sai Chiun, 32, semalam, yang dilarikan sekumpulan lelaki bersenjata di Kunak sejak Jun lepas, membuktikan kewibawaan dan kesungguhan pasukan keselamatan itu dalam menyelamatkan mangsa penculikan.

Sambil mengucapkan syabas kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye berkata kejayaan itu juga menunjukkan kredibiliti polis dalam mengesan dan membantu pembebasan Chan.

“PDRM harus dipuji dengan segala usaha yang menunjukkan mereka berazam bagi memastikan tebusan berjaya dilepaskan. Ini juga membuktikan mereka menjalankan tugas dengan cekap dan teliti,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Mengulas lanjut kejayaan itu, beliau berkata jalinan kerjasama antara PDRM dan pasukan keselamatan negara jiran bagi urusan rundingan bersama kumpulan bersenjata terbabit merupakan langkah tepat bagi memastikan mangsa culik selamat pulang ke pangkuan keluarga.

“Sungguhpun tugas menyelamat dan membawa pulang mangsa sangat berisiko, polis telah menjalankan tugas dengan cekap dan teliti. Hasil kerjasama dengan Filipina juga menunjukkan keprihatinan dalam membebaskan Chan,” tambah beliau.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Anti Jenayah Bersatu Malaysia Datuk Dr A. Balakrishnan berkata kejayaan itu telah membuktikan pasukan keselamatan amat prihatin dengan keselamatan rakyat Malaysia.

“Mereka (polis) sedar ahli keluarga mahupun saudara mara mangsa amat terganggu dan bimbang akan keselamatan mangsa yang telah diculik sejak Jun lepas.

“Jadi, mereka tekad dan bersungguh-bersungguh dan seterusnya membuktikan kejayaan mereka dalam menyelesaikan sebarang jenayah mahupun kes penculikan,” katanya.

Sehubungan itu, pertubuhan itu percaya kejayaan dalam membanteras pelbagai aktiviti jenayah termasuk kes berkaitan penculikan dapat meningkatkan imej pasukan keselamatan itu di mata masyarakat.

Semalam, Chan, yang diculik di Kampung Sapang Air, Kunak, Sabah, oleh sekumpulan lelaki bersenjata dari selatan Filipina, telah dibebaskan di Sabah.

Isteri mangsa, Chin Pek Nyen, 42, dari Ipoh, Perak sebelum ini mendakwa kumpulan penculik meminta wang tebusan RM15 juta, tetapi akhirnya mengurangkan jumlah tuntutan kepada RM3 juta.

Chan bersama seorang pekerja yang hanya dikenali sebagai Mazlan berumur sekitar 20-an diculik dua lelaki bersenjata di pusat ternakan ikan itu pada tengah malam 16 Jun lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.