JPJ Laksanakan Sistem Biometrik

Kuala Lumpur – Bermula 1 April yang lalu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah memperkenalkan sistem biometrik bagi proses pertukaran hak milik kenderaan.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Ismail Ahmad berkata, sistem tersebut yang merupakan produk terbaharu JPJ akan memastikan data dan transaksi proses pertukaran hak milik kenderaan berintegriti dan terjamin.

Beliau berkata, kaedah sekarang yang hanya perlu mendapatkan akuan surat bersumpah menyebabkan berlakunya masalah integriti dan penipuan dalam pertukaran hak milik kenderaan.

“Sistem ini telah dibuat secara projek rintis terlebih dahulu di beberapa pejabat JPJ di seluruh negara sebelum pelaksanaan secara sebenar dibuat supaya orang ramai dan pihak industri faham serta dapat dikoordinasi secara bersama.

“Melalui sistem ini proses tersebut akan menjadi lebih mudah, selamat dan tiada lagi isu surat sumpah palsu berlaku,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Menurut Ismail, pihaknya telah berjumpa dengan semua pihak industri dan rata-ratanya bersetuju dengan sistem baharu itu. Bagaimanapun, mereka meminta sedikit masa untuk menyesuaikan dengan keadaan.

Dalam pada itu, katanya, pihaknya tidak meletakkan tempoh masa tertentu untuk melaksanakan sistem tersebut secara menyeluruh tetapi akan dilaksanakan secepat mungkin.

Mengulas lanjut, beliau berkata, hanya terdapat dua keadaan sahaja kaedah biometrik tidak digunakan iaitu sekiranya pemilik kenderaan meninggal dunia atau terdapat warga asing yang meninggalkan kenderaan mereka di negara ini selepas pulang ke negara asal.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.