Insiden Tumbuk Pekerja Hotel: Aliff Aziz Dakwa Kena Sampuk

Penyanyi kelahiran Singapura, Aliff Aziz, 23 menimbulkan kontroversi baharu apabila dia dikatakan bergaduh di sebuah hotel dekat sini sehingga didatangi pihak polis untuk meleraikan keadaan.

Memetik kenyataan di portal berita mStar online, Aliff tidak menafikan perkara berkenaan bagaimanapun menjelaskan semasa kejadian dia tidak sedarkan diri akibat terkena sampuk.

“Ketika kejadian, saya memang tidak ingat apa yang berlaku. Saya mula sedarkan diri selepas semuanya sudah selesai.

“Sepupu saya memberitahu, saya dah kena sampuk. Memang saya ada masalah lemah semangat sejak kecil lagi,” katanya seperti yang dilaporkan portal tersebut.

Dalam kejadian pada Isnin lalu, Aliff dikatakan mengamuk di sebuah hotel yang menjadi lokasi penginapannya sempena Anugerah Industri Muzik ke 21 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Sabtu lepas.

Semasa kejadian Aliff kononnya berada dalam pengaruh dadah sehingga pihak hotel terpaksa memanggil polis bagi meleraikan keadaan apabila dia dilaporkan menumbuk pekerja hotel berkenaan.

Situasi itu dikatakan turut disaksikan oleh penggiat-penggiat seni yang berkampung di hotel tersebut sempena penganjuran AIM 21 itu.

Dalam pada itu, tambahnya lagi, tidak logik baginya menimbulkan isu baharu sedangkan dia berusaha membersihkan namanya yang dilanda pelbagai kontroversi sebelum ini.Dia juga mahu menjaga nama baiknya apatah lagi bakal muncul dengan album baharu pada awal tahun depan.

“Bagi sesiapa yang telah menyaksikan kejadian itu, mungkin mereka akan memberi pelbagai persepsi terhadap tingkah laku saya itu.

“Tetapi nak buat macam mana, ia adalah hari yang malang buat saya,” katanya yang kini sedang melakukan rawatan tradisional bersama seorang ustaz di Singapura bagi mengembalikan semangatnya yang telah hilang.

Malah Aliff juga berkata, dia sanggup menjalani ujian darah jika ada mana-mana pihak masih menuduhnya mengambil dadah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.