Disimbah Petrol Sebelum Dibakar Hidup-Hidup, Kemudian Ditinggalkan Dalam But Kereta

Kuala Lumpur – Seorang lelaki terbunuh selepas dibakar hidup-hidup oleh sekumpulan lelaki sebelum mayatnya yang rentung ditinggalkan dalam but kereta Proton Waja di tempat letak kenderaan berhampiran Sekolah Antarabangsa Kuala Lumpur (ISKL), Taman TAR, di sini, kelmarin.

Sebelum kejadian, mangsa yang berusia 30-an dikatakan bertengkar dengan lima lelaki yang menaiki kenderaan jenis Mitsubishi Pajero, kira -kira jam 10 malam,

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Khairuldin Saad berkata, siasatan awal mendapati kejadian disedari seorang pekerja binaan di kawasan berhampiran yang terdengar pertengkaran dalam bahasa Tamil.

Beliau berkata, saksi yang berasa tidak sedap hati, meninjau kawasan itu dan terkejut apabila mendapati but sebuah kereta Proton Waja terbakar dan melihat lima lelaki beredar dari tempat kejadian.

“Polis masih menyiasat motif pembunuhan kejam itu dan percaya semua suspek dapat dikesan dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Difahamkan mangsa dipukul terlebih dahulu sebelum disimbah minyak petrol dan dibakar dalam but kereta Proton Waja berkenaan.

Khairuldin berkata, semakan terhadap Proton Waja itu mendapati ia dilaporkan hilang di Sentul, Kuala Lumpur, sejam sebelum mangsa dibunuh.

“Polis akan mengesan identiti mangsa dan waris keluarganya dan keterangan saksi boleh membantu siasatan,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Katanya, polis melakukan sekatan jalan raya di beberapa kawasan bagi memburu suspek. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.