Seperti mana yang diperkatakan oleh jurulatih Dollah Salleh, bek kanan Johor Darul Ta’zim (JDT) itu menjadi antara pemain paling mengecewakan semasa mereka tewas 1-2 di hadapan 65,000 penyo­kong sendiri.

Justeru itu, tidak hairanlah Mahali mungkin menjadi sebahagian pemain yang tidak akan beraksi dalam usaha memadamkan kelebihan satu gol yang dimiliki Vietnam.

Walaupun begitu, jauh di hati pemain yang menjadi sebahagian wira pada Piala AFF 2010 itu masih berharap Dollah memberikannya peluang kedua untuk beraksi pada malam ini di Stadium Nasional My Dinh.

“Memang saya sendiri rasa amat kecewa selepas perlawanan tempoh hari tetapi itu bukan pengakhiran dan saya belum patah semangat.

“Saya masih berharap jurulatih memberikan peluang kepada saya untuk bermain dalam separuh akhir kedua pada perlawanan malam esok (malam ini).

“Mungkin itu menjadi peluang terbaik bagi saya menebus segala kesalahan dan membantu pasukan mara ke perlawanan akhir,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan semalam.

Mahali mungkin akan digantikan oleh S. Kunanlan yang telah diuji beraksi di posisi berkenaan semasa sesi latihan semalam.

Namun, jika jurulatih tidak menyenaraikannya dalam kesebelasan utama, Mahali tetap akur dan dia berharap rakan sepasukan mampu melaksanakan misi sukar di Hanoi.

“Peluang buat kita masih belum berakhir dan saya percaya bukan mustahil untuk kita mencatatkan kemenangan di sini.

“Jurulatih pasti ada pelannya tersendiri dan sesiapa sahaja yang diturunkan, mereka semua sudah bersedia menunaikan tanggungjawab,” katanya. – UTUSAN