Alasan Tidak Tahan Rindu Punca Lari Dari Tahanan

Ayer Keroh – “Mungkin ini cara terbaik saya pulang lebih awal daripada jadual asal Jun depan kerana tidak tahan rindu berjauhan dengan keluarga di kampung,” kata seorang pendatang tanpa izin (PATI) warga Indonesia, Hafidah Usman yang ditahan dalam operasi bersepadu di sebuah projek perumahan di Ayer Keroh, dekat sini, pagi semalam.

Hafidah , 48, ditahan bersama 12 lelaki warga Indonesia dan Bangladesh dalam operasi bermula jam 6.30 pagi berakhir jam 8.30 pagi diketuai Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah Deputi Superintendan V Gunasegaran.

Hafidah yang berasal dari Sumatera mendakwa dia menyusup ke negara ini dengan merentasi Perairan Selat Melaka ke pantai Pontian, Johor, Oktober lalu.

“Saya bekerja sebagai tukang masak dengan gaji RM27 sehari, namun perasaan rindu kepada kampung halaman tidak dapat dibendung tetapi hendak pulang duit tambang masih belum mencukupi.

“Bagaimanapun, mungkin kerana ditahan ini saya dapat pulang ke kampung halaman,” katanya yang ditemui selepas tamat operasi.

Operasi itu turut mendapat kerjasama Jabatan Imigresen Melaka (JIM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) negeri membabitkan 78 pegawai serta anggota.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Shaikh Adzis Shaikh Abdullah berkata, polis melakukan intipan selama tiga hari di rumah kongsi tapak projek terbabit yang disyaki didiami PATI sebelum serbuan dilakukan.

“Bertindak atas maklumat, satu operasi bersepadu dirancang dan hasilnya kami menahan seramai 45 warga asing untuk pemeriksaan dokumen dan jenayah.

“Daripada jumlah itu, 12 lelaki dan seorang wanita ditahan kerana disyaki masuk ke negara ini tanpa dokumen sah selain memalsukan dokumen perjalanan,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, dua lelaki warga Bangladesh dan empat lelaki warga Indonesia didapati menggunakan permit melebihi tempoh dan disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen.

Menurutnya, dua lelaki warga Bangladesh, tiga lelaki dan seorang wanita warga Indonesia pula dikesan tiada dokumen perjalanan diri dan disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c1) akta sama.

“Seorang lelaki warga Bangladesh berusia 40 tahun ditahan kerana disyaki cuba memalsukan dokumen perjalanan dan dia disiasat mengikut Seksyen 56 (1) (l) akta sama,” katanya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.