Mangsa Banjir Terengganu Meningkat, Pahang Reda, Johor Tidak Berubah

KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) — Keadaan banjir di Terengganu Selasa malam menyaksikan peningkatan jumlah mangsa dipindahkan manakala situasi di Pahang semakin reda dan Johor pula tidak berubah.

Di KUALA TERENGGANU, jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan meningkat kepada 14,643 orang berbanding 12,460 pada sebelah petang.

Menurut portal Majlis Keselamatan Negara (MKN), ini susulan angka mangsa banjir meningkat di semua daerah pada Selasa.

Di Dungun, jumlah mangsa meningkat kepada 2,789 orang (701 keluarga) di sebelah malam berbanding 317 orang (77 keluarga) petang manakala di Kemaman meningkat kepada 10,894 (2,487 keluarga) daripada 10,849 orang (2,476 keluarga) pada sebelah petang.

Di Hulu Terengganu, jumlah mangsa banjir meningkat iaitu 790 orang (245 keluarga) berbanding 317 orang (77 keluarga), pada sebelah petang manakala di Marang 21 orang (empat keluarga) berbanding 10 orang (tiga keluarga) sebelum itu.

Dalam masa sama, Setiu pula dilanda gelombang banjir kedua apabila seramai 149 orang (43 keluarga) mangsa dari tiga buah kampung dipindahkan ke pusat pemindahan pada sebelah malam.

Serentak itu, tiga buah pusat pemindahan dibuka di daerah Setiu iaitu di surau Kampung Bukit Nyior menempatkan 67 orang (16 keluarga), Masjid Kampung Merbau Menyusut 67 orang (23 keluarga) dan Surau Kampung Tok Nandong 15 orang (empat keluarga).

Sehingga pukul 9 malam, bilangan keluarga yang berpindah adalah 14,643 dan 73 pusat pemindahan telah dibuka di Terengganu iaitu 17 di Dungun, Hulu Terengganu (20), Kemaman (31), Marang (dua) dan Setiu (tiga).

Pusat-pusat pemindahan tersebut ditempatkan di bangunan sekolah, masjid, surau, rumah saudara mara, balai raya, dewan orang ramai dan pusat pertanian.

Di PAHANG, mangsa banjir berkurangan kepada 6,048 berbanding 7,582 orang yang direkodkan di sebelah petang.

Menurut Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, sehingga 8 malam, masih terdapat 1,473 keluarga yang ditempatkan di 88 pusat pemindahan dari 79 penempatan di lapan daerah yang terjejas banjir.

“Pekan, masih mempunyai jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 3,273 orang di 37 pusat pemindahan,” katanya kepada BERNAMA di Kuantan.

Masih terdapat 1,082 orang yang ditempatkan di lapan pusat pemindahan, Maran (727 orang di 14 pusat pemindahan), Temerloh (555 di 14 pusat), Bera (305 di tujuh pusat), Jerantut (57 di lima pusat), Rompin (33 di dua pusat) dan Lipis (16 di satu pusat).

Sementara itu, jalan utama di Km14 Jalan Temerloh-Triang masih ditutup kepada semua kenderaan.

Di JOHOR, jumlah mangsa banjir yang masih berada di pusat pemindahan di Segamat kekal seramai 266 orang daripada 63 keluarga dan ditempatkan di enam pusat pemindahan sehingga malam.

Menurut portal bencana MKN pada 9 malam, seramai 28 orang masih berada di Sekolah Kebangsaan Spang Loi, Balai Raya Gemereh IV (66 orang), Balai Raya Pogoh 2 (45 orang), Sekolah Agama Kampung Kuala Paya (26 orang), Balai Raya Kampung Tandong (85) dan Balai Raya Kampung Sanglang (16).

Mangsa terbabit masih tidak dapat pulang ke rumah berikutan ‘banjir bertakung’, keadaan air banjir tidak bergerak dan tidak pula surut dengan cepat.

–BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.