17 Bot Tempur Baharu Akan Ditempatkan Di ESSCOM

KOTA KINABALU, 11 Dis (Bernama) — Sebanyak 17 unit bot tempur baharu akan ditempatkan di Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (ESSCOM) selewat-lewatnya April depan.

Komander Pasukan Polis Marin Datuk Isa Munir berkata bot tersebut, yang dilengkapi sistem radar canggih akan digunakan bagi melancarkan operasi keselamatan di sekitar pantai timur Sabah.

“Lima daripada bot tersebut telahpun sampai di Lahad Datu. Setiap satu berharga kira-kira RM1.2 juta.

“Kita berharap dapat menghantar baki 12 bot secepat mungkin,” katanya dalam sidang akhbar Polis Marin Kota Kinabalu di sini Rabu.

Isa juga berkata dua bot ronda berukuran 26 meter, yang mampu menempatkan 10 anggota, dijangka tiba di Lahad Datu tahun depan.

Terdahulu, beliau berkata Pasukan Polis Marin Kota Kinabalu berjaya merampas 25,000 bungkus rokok bernilai RM327,000 dalam Operasi Cantas Khas di Penampang dekat sini, semalam.

“Ketika Ops Cantas Khas dijalankan di Pekan Donggongon, Penampang, sebuah lori berwarna putih dilihat dalam keadaan mencurigakan sedang menghala ke arah Kota Kinabalu pada kira-kira pukul 12.30 tengah hari semalam.

“Lori tersebut diekori dan semasa tiba di Jalan Nosoob Hungab, lori berkenaan berhenti di tepi jalan dan pemandunya, seorang lelaki, pula berjaya melarikan diri,” katanya.

Isa berkata hasil pemeriksaan, polis menemui bungkusan rokok berjenama Era yang dipercayai diseludup.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.