BERA – Dakwaan kononnya anggota tentera yang mengundi di Parlimen Bera dibayar RM300 ternyata hanya bersifat fitnah sekali gus merendahkan martabat anggota keselamatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu sengaja untuk menimbulkan persepsi negatif masyarakat kepada Barisan Nasional (BN) khususnya menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 November ini.
Kata Ismail Sabri, Anwar perlu sedar dakwaan itu bersifat jahat dan perlu memohon maaf kepada anggota tentera.
“Ini adalah tuduhan jahat dan jangan menghina anggota tentera malah dia perlu tarik balik tuduhan kerana ia menghina anggota tentera seluruh negara.
“Tiada keistimewaan yang diberikan untuk anggota tentera mengundi sehingga diberikan imbuhan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Ngeteh Santai Orang Kita di Perkampungan Orang Asli Kampung Bongkok pada Jumaat.
Media melaporkan, Presiden PKR itu sebelum ini mendakwa ada anggota tentera khususnya dalam kawasan Parlimen sudah mengundi untuk PRU kali ini.
Ketika berucap di satu majlis di Terengganu, Anwar mendakwa mendakwa anggota tentera terbabit dibayar RM300 untuk berbuat demikian.
Anwar yang juga calon Parlimen Tambun mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyiasat perkara ini.
Seramai anggota tentera 113,000 termasuk pasangan mengundi awal di 189 pusat mengundi 15 November ini.