Kesihatan Keluarga Malaysia Dipelihara Menerusi ANMS – PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini melancarkan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS).

Menurut beliau, ANMS merupakan pakej kesejahteraan kesihatan yang diteliti, dirancang dan seterusnya diperkenalkan oleh kerajaan melalui Kementerian Kesihatan sebagai penggerak utama, dan disertai secara langsung oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Perdana Menteri memberitahu, ANMS yang diterajui dua kementerian ini, dan penglibatan kementerian atau agensi kerajaan yang lain, merupakan persediaan dan tindakan yang diambil bagi mempersiapkan Keluarga Malaysia dalam mendepani dan mengharungi fasa endemik COVID-19.
 
“ANMS bertujuan membudayakan hidup sihat dan kelestarian persekitaran yang menyokong kesejahteraan kesihatan Keluarga Malaysia.

“Agenda ini berusaha untuk menjadikan kita sihat sejahtera sepanjang hayat,” katanya secara maya.
 
Ismail Sabri berkata, bagi menjayakan ANMS, kerajaan mengambil pendekatan Whole of Nation, iaitu ‘Keseluruhan Negara’ dengan menjalinkan kerjasama yang erat dengan semua pihak untuk bergerak sebagai rakan strategik.
 
“Kerajaan bertanggungjawab merangka hala tuju, strategi dan initiatif ANMS, manakala pihak swasta dan badan bukan kerajaan NGO adalah penggerak kepada strategi serta usaha yang telah dirangka atau inisiatif yang diperkenalkan.
 
“ANMS dilaksanakan untuk tempoh 10 tahun, iaitu mulai tahun 2021 hingga tahun 2030. Pelaksanaannya dibahagikan kepada dua penggal; iaitu penggal pertama bermula pada tahun tahun 2021 sehingga tahun 2025, dan penggal kedua pula bermula pada tahun 2026 dan akan berakhir pada tahun 2030,” jelas beliau.

Ismail Sabri menerangkan agenda ini melibatkan empat teras utama; 10 strategi; dan 24 inisiatif.  

“Empat teras utama tersebut ialah Memantapkan Promosi Pembudayaan Hidup Sihat; Memantapkan Perkhidmatan Kesejahteraan Kesihatan; Memperkasakan Kawalan Kesihatan Kendiri dan Memantapkan Kebersihan Persekitaran,” jelasnya.

Kata Perdana Menteri lagi, beliau menaruh harapan tinggi bahawa, menerusi ANMS, Keluarga Malaysia akan terus mengamalkan Prosedur Operasi Standard (atau SOP) yang telah ditetapkan, kekal dengan kehidupan norma baru, mengambil vaksin serta mengamalkan kawalan kesihatan kendiri, seperti menjalani ujian dan kuarantin jika bergejala atau menjadi kontak rapat kepada kes positif COVID-19.
 
“Keluarga Malaysia perlu membudayakan hidup sihat dengan melakukan aktiviti fizikal, makan secara sihat, dan menjaga kesihatan mental untuk mengukuhkan daya ketahanan badan melawan penyakit.
 
“Antara strategi yang akan digunakan dalam RMK-12 berkaitan kesejahteraan kesihatan ialah mempertingkatkan literasi kesihatan dan kesedaran mengenai kesihatan dalam kalangan Keluarga Malaysia,” katanya.

Dalam perkembangan sama, kerajaan turut memutuskan untuk membentuk Dasar Literasi Kesihatan Kebangsaan.

Katanya, melalui dasar ini, beberapa inisiatif akan dilaksanakan termasuklah penganjuran program kesedaran penjagaan kesihatan yang akan dipergiat melalui pelbagai platform, pada semua peringkat dengan memanfaatkan fasiliti di bawah pelbagai agensi.
 
“Bagi memastikan literasi kesihatan Keluarga Malaysia dapat  dipertingkatkan, program pembangunan keupayaan Ejen Kesihatan Komuniti (atau MyCHAMPION) akan diperkukuhkan, terutamanya dalam usaha pendidikan dan promosi kesejahteraan kesihatan.
 
“Dengan tahap literasi kesihatan yang tinggi, kita akan mendapat maklumat kesihatan, membudayakan hidup sihat, membuat kawalan kesihatan kendiri sebagai tindakan awal mencegah penyakit dan menjaga kesihatan bagi mengelak komplikasi,” ujarnya.
 
Kata Perdana Menteri, contohnya rakyat kalangan B40 akan mendapat akses kepada maklumat kesihatan, memahami kepentingan penjagaan kesihatan, dan melakukan saringan kesihatan percuma melalui program skim  PekaB40.
 
“Ini membolehkan kita mengenalpasti risiko kesihatan lebih awal dan menjalani intervensi kesihatan sama ada di Wellness Hub (atau Hub Sejahtera), klinik kesihatan dan hospital mengikut status kesihatan.
 
“Kita juga akan mendapat kemahiran saringan status kesihatan kendiri seperti mengetahui bacaan tekanan darah dan tahap glukos dalam darah.

“Keluarga Malaysia turut mendapat faedah kesihatan bagi pengurusan berat badan, pengurusan stres dan khidmat bantuan berhenti merokok serta menjalani intervensi kesejahteraan kesihatan di fasiliti kesihatan dengan persekitaran yang kondusif,” terang beliau.

Dengan ini, katanya, Keluarga Malaysia bukan sahaja dapat membudayakan hidup sihat, mengurangkan risiko penyakit, mengurangkan kos rawatan dan pemulihan, malah dapat menjalani hidup yang lebih berkualiti.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,580FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat