Mesyuarat pertama Majlis Ekonomi Digital dan 4IR kenal pasti enam kluster penggerak agenda ekonomi digital

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Mesyuarat pertama Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara telah mengenal pasti enam kluster sebagai komponen penggerak agenda ekonomi digital dan 4IR.

Menurut kenyataan daripada Pejabat Perdana Menteri hari ini, enam kluster tersebut ialah ekonomi, bakat digital, masyarakat, infrastruktur digital dan data serta teknologi baru muncul dan kerajaan.

“Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara hari ini, menerusi sidang video.

“Majlis ini adalah tadbir urus tertinggi dalam menetapkan dasar, pelaksanaan serta pemantauan strategi dan inisiatif ekonomi digital dan 4IR di Malaysia.

“Penubuhan majlis ini sejajar dengan hasrat kerajaan untuk memastikan pembangunan ekonomi digital di Malaysia bersifat inklusif dengan memanfaatkan sepenuhnya potensi teknologi 4IR,” katanya.

Katanya kluster Ekonomi dipengerusikan oleh Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, kluster Bakat Digital (Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan), kluster Masyarakat (Menteri Pembangunan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun).

Kluster Infrastruktur Digital dan Data (Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah), kluster Teknologi Baru Muncul (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin Abu Bakar) dan kluster kerajaan (Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali).

Katanya sebuah Jawatankuasa Pemandu yang dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed, juga diwujudkan untuk memacu kolaborasi antara pelbagai kementerian dan agensi serta pihak swasta dalam merealisasikan agenda ekonomi digital dan 4IR yang berpandukan hala tuju pihak majlis.

“Semua Ketua Setiausaha dan Ketua Pengarah yang terbabit dengan keenam-enam kluster dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Pemandu mewakili Pengerusi Kluster masing-masing,” katanya.

Majlis Ekonomi Digital dan 4IR Negara akan mengambil alih peranan hampir semua jawatankuasa berkaitan digital dan teknologi yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri sebelum ini.

Selain itu, katanya semua majlis, jawatankuasa dan pasukan petugas digital dan teknologi yang dipengerusikan oleh menteri, pegawai kanan kementerian dan agensi akan diselaras atau digabungkan di bawah enam kluster yang baru diwujudkan.

Penubuhan majlis ini dengan struktur tadbir urus yang bersepadu bakal meningkatkan keupayaan negara dalam mengoptimumkan perkembangan teknologi 4IR dan memastikan pertumbuhan ekonomi digital sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Agenda Pembangunan Mampan 2030.

– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat