Timbalan Menteri Pengsan Ketika Dengar Perbahasan Di Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR – Baru kira-kira setengah jam berlangsung, sidang Dewan Rakyat pagi ini terpaksa dihentikan seketika apabila Anggota Parlimen Kuala Pilah, Eddin Syazlee Shith (Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia), pitam dan rebah di kerusinya.

Kejadian itu berlaku kira-kira jam 10.30 pagi semasa Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad sedang menjawab soalan daripada Salim Sharif (BN- Jempol) dalam sesi jawapan lisan.

Difahamkan Eddin ketika itu baru memasuk dewan apabila beliau tiba-tiba terduduk selepas pitam.

Raja Kamarul Bahrin yang sedang menjawab soalan Salim tentang pembelian aset bomba untuk tujuan menangani pembakaran hutan serta maklumat tentang kos lawatan menteri KPKT ke Itali berhenti seketika apabila melihat Eddin rebah di tempat duduknya.

Hal itu menyebabkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Mohd Rashid Hasnon, menghentikan sidang seketika dan memanggil petugas kesihatan masuk untuk menghulurkan bantuan kepada Eddin.

“Ahli-ahli Yang Berhormat, dewan berhenti rehat sebentar untuk beri perhatian kepada timbalan menteri (Eddin).

“Minta bantuan doktor perubatan,” katanya.

Pada 21 Oktober, Mansor Othman (PKR-Nibong Tebal) mengejutkan ahli parlimen apabila rebah semasa membahaskan Belanjawan 2020.

Selepas bantuan awal, Mansor kemudian dilaporkan sedar semula dan dibawa keluar dari dewan dengan kerusi roda.

Sidang tertangguh kira-kira lima belas minit sebelum disambung semula jam 10.43 pagi.

“Minta bertenang, dan berdoa agar YB-YB sihat walafiat,” kata Rashid sebaik menyambung sidang.

Lain-lain berita;

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.