Sokong Najib Dikatakan Rasuah, Sokong Paul Yong Berkait Kes Rogol, Apa Pula Maknanya? – Mathis

KUALA LUMPUR – Sungguh ironi sekali tindakan segelintir pihak dalam Pakatan Harapan (PH) yang begitu kuat menghentam pimpinan Barisan Nasional (BN) dan UMNO kerana tampil menyatakan sokongan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Sejurus selepas keputusan oleh hakim yang telah memerintahkan Najib membela diri atas tujuh tuduhan penyewelengan dana SRC bernilai RM42 juta di Mahkamah Tinggi, rata-rata pimpinan pembangkang telah berikrar berdiri teguh belakang Najib.

Antara Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang merasakan tidak ada keperluan untuk menjarakkan diri daripada Najib sebaliknya peluang untuk Najib membela diri dan cuba membuktikan diri masih lagi terbuka luas.

Bagaimanapun, PH dengan begitu agresif mula melakukan serangan khasnya dalam laman sosial kononnya menyokong Najib itu bersamaan dengan memberi ‘lampu hijau’ kepada rasuah di negara ini.

Apa yang peliknya, kumpulan yang sama ini seolah-olah terlupa pula dengan kes yang sedang dihadapi oleh Exco Kerajaan Negeri Perak, Paul Yong dari DAP yang juga berdepan tuduhan merogol pembantu rumahnya.

Perbicaraan Paul Yong yang juga bermula hari ini sudah terang lagi bersuluh dengan puluhan pengikut penyokong PH khasnya DAP memegang kain rentang tertulis ‘Hidup YB Paul Yong’.

Exco Barisan Nasional Youth Volunteers (BNYV) Kebangsaan, Mathis Sarawanan ketika bercakap dengan MalaysiaGazette sebentar tadi melahirkan rasa pelik dengan tindakan berat sebelah ini.

“Saya memang rasa pelik. Najib masih lagi belum terbukti lagi bersalah malah telah diperintahkan untuk membela diri. Kes masih berjalan, hukuman belum lagi di jatuhkan malah belum terbukti.

“Paul Yong juga begitu. Hari ini adalah hari perbicaraan kes rogol pembantu rumah warga Indonesia yang melibatkan anggota Exco kerajaan negeri Perak ini di Mahkamah Sesyen di sini, pagi ini.

“Kita boleh lihat sendiri bagaimana ceteknya pemikiran serta kolot dan cubaan untuk memperbodohkan rakyat malah terang-terangan lagi sikap seperti ini menunjukan bagaimana mereka ini belum keluar dari kepompong ‘pembangkang’ lagi.

“Bila Pengerusi Barisan Nasional, YB Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi umum Barisan Nasional akan ‘Stick By Najib’ selepas mahkamah umum ada prima facie dalam kes SRC, terus kawan – kawan di Pakatan Harapan hentam BN kata BN sokong perasuah.

“Tetapi jika tengok sekitar perbicaraan kes rogol Paul pula, ramai penyokong tertuduh khususnya dari DAP berkumpul untuk memberi sokongan kepada tertuduh dihadapan mahkamah, siap ada angkat kain rentang tulis ‘Hidup YB Paul Yong’.

“Saya hendak tanya adakah ini bermaksud DAP atau Pakatan Harapan sendiri sokong perogol? Kalau saya cakap begini pastinya ada yang terkinja-kinja seperti monyet dan marah.

“Saya pun tahu anda hanya menyatakan sokongan kepada apa yang kamu percaya betul dan menyokong pimpinan kamu jadi mengapa tidak cuba bersikap adil?,” tegasnya.

Malah tempelak Mathis yang juga Ketua Pemuda MIC Bahagian Bayan Baru sepatutnya kumpulan ini tidak terlalu hipokrit sebaliknya juga perlu mencermin diri.

“Adakah perangai seperti ini elok pada pandangan anda? Tidak bukan? Jika kami tegur kamu balik, mesti kamu tidak suka jadi mengapa kamu buat perangai sama? Malulah.

“Jadi perangai itu bagi elok sikitlah. Biar Mahkamah teruskan proses perundangan.

“Jangan demi politik kita rosakkan kepercayaan orang terhadap institusi awam. Janganlah ada dwi standard, biar undang-undang lakukan kerja mereka, janganlah kamu seperti ‘ludah ke langit kena balik muka sendiri,” tegasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!