Najib Pilih Bela Diri Dengan Keterangan Bersumpah Dari Kandang Saksi

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memilih untuk membela diri dengan memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi setelah Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan beliau membela diri berkaitan tuduhan penyelewengan dana SRC Internasional Sdn Bhd.

“Saya diperlukan oleh Hakim untuk membela diri dalam kes SRC. Pilihan saya untuk membela diri ialah dengan memberi keterangan secara bersumpah di mana saya boleh disoal balas oleh pendakwaraya.

“Saya dan peguam-peguam saya juga diberikan peluang untuk memanggil saksi-saksi pembelaan buat kali pertama dalam kes SRC ini.

“Sehingga kini, hanya saksi-saksi pendakwa raya telah dipanggil dan kali ini saksi-saksi pembelaan akan diberi peluang untuk memberi gambaran sebenar dan membuktikan saya tidak bersalah.

“InsyaAllah. Inilah peluang untuk membersihkan nama saya tidak lama lagi di dalam mahkamah,” kata Najib menerusi status terbaru di Facebook beliau hari ini.

Terdahulu, Najib diberi tiga pilihan untuk membela dirinya, pertama dengan memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi, kedua memberi kenyataan tidak bersumpah dari kandang tertuduh, manakala ketiga memilih untuk berdiam diri.

Pasukan pendakwaan diketuai Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dibantu Timbalan Pendakwa Raya ‘ad-hoc’, Datuk V Sithambaram, manakala Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengetuai pasukan pembelaan bagi pihak Najib.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan 10 hari iaitu 3, 4, 9 hingga 12 dan 16 hingga 19 Disember ini untuk Najib dibicarakan dan memberi keterangan berkaitan semua tuduhan itu. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!