‘Haramkan’ Isu Pinjaman PTPTN Dijadikan Manifesto Pilihan Raya Selepas Ini

SHAH ALAM – Sudah tiba masanya untuk kerajaan mengambil langkah drastik supaya isu yang berkaitan dengan pinjaman pendidikan ini tidak terus menjadi permainan politik oleh mana-mana pihak dalam negara, khususnya dalam kalangan parti politik di masa akan datang.

Pensyarah Kanan Fakulti Syariah & Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Muzaffar Syah Mallow berkata, kerajaan boleh melakukan pindaan ke atas mana-mana peruntukan sedia ada dalam negara.

Beliau memberi contoh, pindaan boleh dilakukan terhadap Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 (Akta 5), iaitu dengan melarang mana-mana pihak untuk terus mengunakan isu pinjaman pendidikan sebagai modal politik mereka untuk meraih undi.

“Dengan adanya peruntukan khusus mengenai perkara ini, mana-mana ahli politik atau parti politik tidak lagi boleh menjadikan isu pinjaman pendidikan ini sebagai bahan kempen politik setiap kali tibanya musim pilihan raya.

“Sekiranya peruntukan khusus ini wujud, mana-mana ahli politik atau parti politik tidak boleh lagi meletakkan isu pinjaman pendidikan dalam manifesto politik pilihan raya mereka.

“Sekiranya mereka masih berdegil berbuat demikian, ahli politik serta parti politik berkenaan boleh dikenakan denda atau sebarang hukuman yang berat,” katanya dalam satu kenyataan.

Cadangan itu menyusul selepas media semalam melaporkan Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Wan Saiful Wan Jan memohon maaf ekoran kerajaan Pakatan Harapan (PH) gagal menunaikan janji untuk menangguhkan pembayaran pinjaman itu sehingga gaji peminjam mencecah RM4,000 sebagaimana yang diikrarkan dalam manifesto pada PRU lalu.

Wan Saiful semalam dilaporkan berkata, pada ketika janji tersebut dibuat, beliau tidak mendapat input sebenar situasi kewangan negara.

Ujarnya, ramai yang menuntut untuk kerajaan melaksanakan janji tersebut namun setelah berbulan-bulan memikirkan cara pelaksanaan dengan pengurusan PTPTN, beliau akur janji itu tidak dapat ditunaikan.

Dalam pada itu Muzaffar menambah, peminjam PTPTN tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya ekoran masih culas untuk melunaskan hutang.

“Walaupun begitu, kita juga harus memahami kenapa sesetengah peminjam begitu liat untuk membayar balik pinjaman mereka, selain daripada isu integriti dan sikap tidak amanah seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, para peminjam ini juga menjadi keliru dengan isu pinjaman pendidikan yang sering dijadikan bahan, modal, kempen politik lebih-lebih lagi sewaktu tibanya musim pilihan raya,” katanya.

Dengan janji yang ditabur berkenaan isu pinjaman pendidikan, maka sudah menjadi fitrah setiap manusia untuk mengharapkan kesenangan dan kemudahan dalam hidup mereka, kata Muzaffar.

“Ada dalam kalangan peminjam yang sanggup menunggu ahli politik untuk membuat janji manis untuk mengurangkan atau memansuhkan terus pinjaman yang telah mereka buat supaya para peminjam tidak perlu membayar balik pinjaman yang telah mereka buat.

“Sikap sesetengan ahli politik sebegini sekali gus telah menyebabkan peminjam mengambil isu bayaran balik pinjaman mereka dengan mudah serta sambil lewa kerana sering mengharapkan berita baik terhadap pinjaman yang telah mereka buat.

“Isu pinjaman pendidikan tidak sepatutnya dipolitikkan lagi dalam negara kita kerana ia melibatkan masa depan diri peminjam itu sendiri serta bakal-bakal peminjam yang lain.

“Setiap peminjam yang rata-ratanya terdiri daripada generasi muda ini perlu dilatih dari peringkat awal untuk lebih berdisplin dalam soal pengurusan kewangan serta pembayaran balik hutang pendidikan yang dimiliki oleh mereka,” katanya lagi. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.