“Bukan Serangan Siber”, Penulis Teknologi Ulas Isu Kekecohan Pemilihan PKR Di Julau

SHAH ALAM – Selepas pemilihan PKR di Julau semalam yang kecoh gara-gara dakwaan berlakunya “serangan siber” terhadap tablet yang digunakan dalam pemilihan di cabang itu, seorang penulis teknologi, Keith Rozario tampil memberikan ulasannya.

Memetik laporan Malaysiakini, Rozario menerusi bebenang di Twitter menjelaskan bahawa aplikasi Prey yang ditemui di tablet itu, yang dinyatakan sebagai ‘malware’, sebenarnya adalah perisian anti-kecurian yang sah.

“Ia bukan ‘malware’. Aplikasi itu dalam kategori ‘pengurusan peralatan mobil’ (mobile device management, MDM). Biasanya digunakan pada peralatan korporat seperti telefon pintar agar syarikat boleh mengawalnya,” kata Rozario.

Jelas penulis itu, ada syarikat menggunakan MDM terhadap peralatan yang diberikan untuk kegunaan pekerja sebagai bentuk perlindungan jika ia dicuri atau pekerja itu disingkirkan.

“Untuk melindungi peralatan daripada pekerja bodoh atau berniat jahat, atau hanya pekerja yang tak berpuas hati, mereka biasanya memasang MDM dalam peralatan mereka.

“Ia untuk memadam data dari jarak jauh, atau memutuskan hubungan daripada server emel, atau menghalang ‘jailbreak’ (mengubahsuai sekatan oleh pengeluar peralatan).

“Prey adalah MDM, kewujudannya dalam peralatan tidak bermakna berlakunya ‘serangan siber’,” katanya lagi.

Semalam calon timbalan presiden Rafizi Ramli mendakwa tablet yang digunakan di pust mengundi Julau telah diserang “perisian intip” (spyware).

Menurut dakwaan Rafizi, perisian yang dipasang ke dalam tablet itu bernama Prey.

Susulan itu, Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) menggantunh keputusan pemilihan peringkat Cabang Julau. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.