Bukan Mudah Untuk Penuhi Janji, Kata Rafidah

GEORGE TOWN: Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz berkata rakyat yang mengundi Pakatan Harapan (PH) perlu memahami realiti dan tidak meletakkan jangkaan yang tinggi kepada kerajaan.

Memetik laporan The Star, Rafidah berkata, bukan mudah untuk memenuhi janji-janji yang dibuat kerana kerajaan sekarang hanya mengetahui sepenuhnya isu yang dihadapi negara selepas mereka mengambil alih pentadbiran.

“Ia tidak sempurna, dan rakyat mesti menyedari bahawa adalah tidak mudah untuk memenuhi semua janji yang dibuat,” kata Rafidah pada Persidangan Kepimpinan ‘Nurture, Engage and Exchange 2018 Penang’ di sini hari ini.

“Bagaimanapun, kita akan dapat mengatasi semua isu, termasuk hutang, seperti yang kita hadapi sebelum ini.

“Kita pernah mengalami pertumbuhan negatif semasa krisis 1997, dan kita berjaya mengatasi dan membina semula negara kerana rakyat, termasuk pembangkang, menyokong dasar kita,” katanya.

Rafidah menambah, pembangkang harus menjadi rakan kongsi dalam pembangunan negara, dan bukan menentang segala yang dilakukan kerajaan.

“Negara memerlukan kerajaan dan pembangkang dalam perkongsian untuk demokrasi berfungsi dengan berkesan,” katanya lagi. 

Kenyataan Rafidah itu menyusul di tengah-tengah kehangatan pertikaian pembangkang yang mempersoalkan janji PH selepas Belanjawan 2019 yang dibentangkan minggu lalu tidak seperti yang dijangkakan.

Antaranya berkaitan soal subsidi petrol dan juga PTPTN.

Dalam pembentangan Belanjawan 2019 minggu lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata kerajaan akan mengapungkan semula harga petrol RON95 di pasaran berdasarkan Automatic Price Mechanism (APM).

Belanjawan juga menyatakan peminjam bergaji RM1,000 ke atas akan dipotong secara automatik untuk bayaran balik PTPTN.

Ia berbeza dengan apa yang dijanjikan sebelum ini iaitu pengecualian bayaran balik peminjam PTPTN yang berpendapatan bulanan di bawah RM4,000. 

Ini terbukti apabila Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan hari ini memohon maaf ekoran kerajaan gagal menunaikan janji tersebut sebagaimana yang diikrarkan dalam manifesto pada PRU lalu. – SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.