Azmin Hampir Pasti Kekalkan Jawatan Timbalan Presiden PKR

KUCHING: Datuk Seri Azmin Ali hampir pasti mengekalkan jawatan Timbalan Presiden PKR selepas mendahului pencabar tunggalnya, Rafizi Ramli dengan kelebihan 2,137 undi dalam Pemilihan PKR di Sarawak yang selesai hari ini.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu memperoleh 4,021 undi berbanding Rafizi yang meraih 1,884 undi selepas 28 cabang di negeri itu selesai memilih hari ini.

Hanya satu lagi cabang iaitu Julau di Sibu, masih belum diketahui keputusannya ekoran digantung berikutan faktor teknikal, termasuk isu perisian e-undi yang digodam.

Cabang Julau merekodkan jumlah ahli PKR disahkan layak mengundi sebanyak 13,000 ahli, namun daripada keseluruhan ahli berkenaan, hanya 2,000 sahaja ahli parti keluar menunaikan tanggungjawab mereka.

Daripada 29 cabang, Azmin menawan 23 cabang di Bandar Kuching; Petra Jaya; Santubong; Kota Samarahan; Stampin; Puncak Borneo; Mas Gading; Sri Aman; Sarikei; Batang Lupar; Batang Sadong; Betong; Sibu; Lanang; Lubok Antu; Saratok; Hulu Rajang; Lawas; Baram; Kanowit; Bintulu; Selangau dan Mukah.

Rafizi pula sekadar berpuas hati di lima cabang iaitu Serian; Miri; Sibuti, Kapit dan Limbang.

Pemilihan PKR di Sarawak dianggap sebagai penentu dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden memandangkan ia berlangsung pada minggu terakhir sejak pemilihan bermula September lalu. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.