Sistem Pengangkutan Pintar Jadikan Perjalanan Lebih Cekap, Selamat

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) di negara ini akan menjadikan perjalanan lebih cekap, lancar dan selamat dari satu tempat ke tempat yang lain, kata Presiden Persatuan Perniagaan Hijau Malaysia, Tan Sri Mustafa Mansur.

Beliau berkata pengangkutan berkaitan masalah kesesakan jalan raya perlu dilihat daripada perspektif lebih luas, lapor Bernama.

Menerusi ITS, pengangkutan akan menjadi lebih penting bagi membolehkan kecekapan pergerakanpenduduk dengan objektif utama untuk mengurangkan kesesakan trafik, pencemaran kenderaan dan mengawal jumlah kemalangan jalan raya.

“Sekiranya kita menerima pakai dan melaksanakan sistem pintar (dalam sistem pengangkutan negara​​​​​​​ ini), saya yakin kita akan menikmati perjalanan yang lebih cekap, lancar dan selamat dari satu kawasan ke tempat lain,” katanya ketika membentangkan ‘Pembangunan dan Penggunaan ITS’ di Seminar Kecemerlangan Taiwan: ITS di sini, hari ini.

Acara itu diadakan di luar Ekspo Taiwan 2017 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini selama tiga hari dengan mempamerkan lebih 5,000 produk dan perkhidmatan utama Taiwan oleh 180 pempamer negara itu yang dibawa oleh Majlis Pembangunan​​​​​​​ Perdagangan Luar Taiwan.

Mustafa berkata, elemen pintar itu termasuk sistem pemantauan dan panduan lebuh raya yang memaklumkan kemalangan trafik di laluan utama kepada pengguna.

Beliau berkata, selain itu, terdapat elemen pintar pemantauan dan pelaporan pada waktu sebenar mengenai keadaan trafik, bukan hanya di sekitar pusat bandar malah di semua laluan utama serta lebuh raya.

ITS baharu menggabungkan elemen pintar seperti Internet Kebendaan (IoT), pengkomputeran awan, analisis data raya dan aplikasi mudah alih.

Beliau berkata Taiwan, yang giat mengusahakan penyelidikan dan pembangunan ITS, mempunyai banyak aplikasi dan penyelesaian perkhidmatan pintar yang boleh diterima pakai Malaysia dan negara ASEAN lain untuk menambah baik sistem pengangkutan.

“Penganjuran forum ini di Kuala Lumpur tepat pada masanya memandangkan ia meyediakan platform untuk komunikasi, menggalakkan peluang perniagaan-kepada-perniagaan, meningkatkan kerjasama antara penyedia perkhidmatan teknikal dan mengukuhkan permintaan pasaran dalam sektor ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Hubungan Antarabangsa, Persatuan ITS Malaysia, Datuk Dr Leong Siew Mun, yang juga anggota Majlis ITS Malaysia dalam pembentangannya berkata, ITS baharu menawarkan​​​​​​​ sistem​​​​​​​pengangkutan bandar inklusif dan bersepadu yang mampan dan menyokong bidang baharu​​​​ ​​​dalam​​​​​​ ekonomi digital.

Selain pengurusan kesesakan dan trafik bandar, kadar tinggi kemalangan motosikal dan tingkah laku perjalanan individu, beliau berkata ITS juga menawarkan peluang dalam pengendalian transaksi dan logistik dalam ekonomi digital.

Dalam forum itu, Timbalan Setiausaha Bahagian Logistik dan Pengangkutan Darat​​​​​​, Kementerian​​​​​​​Pengangkutan, Ho Khek Hua, yang membentangkan tajuk ​​​​​‘Kesalinghubungan Logistik dan e-Dagang’ menggesa pelabur dan syarikat ITS Taiwan memanfaatkan peluang di Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) Malaysia, DFTZ pertama di luar China.

Empat syarikat ITS Taiwan, yang turut membuat pembentangan dalam forum itu ialah, Far Eastern Electronic Toll Collection Co Ltd (tajuk – Daripada Sistem Kutipan Tol Elektronik kepada ITS dan Bandar Pintar’); ICP DAS Co.Ltd (Perkongsian Pemantauan Kes ITS); Marketech International Corp (Trafik Pintar dan Bandar Pintar) dan Syscom Computer Engineering Company Co Ltd (ITS-Stesen Bas Taipei)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.