PFP Desak Lim Guan Eng Mohon Maaf Pada Keluarga Mangsa Tanah Runtuh

GEORGE TOWN – Penang Front Party (PFP) menggesa Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng supaya segera memohon maaf kepada keluarga 11 mangsa yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah pada 21 Oktober lepas.

Presidennya, Datuk Patrick Ooi berkata selain 11 mangsa itu, Lim juga didesak memohon maaf terhadap 12 mangsa lain yang terkorban dalam insiden tanah runtuh dan banjir di negeri ini sejak Julai lepas hingga awal bulan ini.

“Jumlah mangsa sudah 23 orang dari Julai hingga hari ini di Pulau Pinang. Apa yang kerajaan negeri Pulau Pinang tunggu lagi. Beliau (Lim) perlu minta maaf, takkan nak tunggu 100 orang mati baru hendak minta maaf,” katanya kepada pemberita di luar bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.

Susulan tragedi demi tragedi itu, beliau berkata kerajaan negeri DAP perlu mendengar rintihan penduduk negeri ini dan perlu segera menghentikan projek pembangunan di lereng bukit selain menyegerakan projek tebatan banjir.

Ooi turut meminta Lim meletak jawatan dan memberi laluan kepada pemimpin lain untuk mengemudi Pulau Pinang.

Dalam kejadian 21 Oktober lalu, 11 pekerja termasuk rakyat tempatan terkorban akibat tertimbus dalam kejadian tanah runtuh ketika sedang bekerja di tapak projek perumahan mampu milik di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah.

Kerajaan DAP Pulau Pinang sebelum ini mengakui projek berkenaan tidak mendapat sokongan Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri.

Walau bagaimanapun ia diteruskan selepas kerajaan negeri menerusi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) membenarkan permohonan pemaju selepas mengambil kira maklum balas positif lebih 20 agensi lain.

Antara agensi memberi persetujuan ialah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), namun dalam surat JAS kepada perunding, JAS memang tidak menyokong projek berkenaan.

Terdahulu, JAS dalam kenyataanya memaklumkan, pihaknya menolak permohonan kelulusan projek berkenaan pada 23 Januari lalu berikutan lokasi pembangunan yang terletak kurang 500 meter dari tapak kuari. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.