Magnet Penyelamat Perut Budak

Chengdu (China) – Seorang doktor di barat daya China menggunakan kaedah kreatif untuk mengeluarkan dua magnet kecil dalam perut seorang budak lelaki berusia 13 tahun, 10 hari selepas remaja itu tertelan objek terbabit.

Kanak-kanak itu yang hanya dikenali sebagai Qiangqiang, berisiko mengalami pendarahan dalaman yang teruk sekiranya doktor menggunakan prosedur pembedahan standard untuk mengeluarkan magnet berkenaan yang masuk ke dalam tisu perutnya serta menyebabkan beberapa ulser terbentuk, lapor Metro.

Pengarah pusat endoskopi gastrointestinal di Hospital Barat China di Chengdu, So Hu Bing kemudian memutuskan untuk menggunakan magnet lebih kuat yang kebetulan dibelinya dalam talian bagi tujuan penyelidikan beberapa hari sebelumnya.

Hu Bing dan pasukannya cuba mengeluarkan magnet bersaiz butang itu menggunakan endoskopi yang biasa digunakan untuk melakukan pemeriksaan dalaman, namun ia dilitupi tisu di bahagian bawah perut pesakit itu.

Bagaimanapun, dengan memasang magnet lebih kuat pada endoskopi berkenaan, mereka dapat mengatasi masalah berkenaan.

Qiangqiang bermain dengan dua magnet itu pada 28 Oktober lalu apabila dia secara tidak sengaja menelannya.

Hospital tempatan tempat dia mendapatkan rawatan di wilayah Guizhou mencadangkan supaya pembedahan dada dibuat bagi mengeluarkan magnet terbabit.

Namun, ibu bapa kanak-kanak itu berpendapat ia terlalu berisiko dan menghantar anaknya ke Hospital West China.

Menurut Hu Bing, tanpa magnet itu doktor terpaksa membuat lubang pada perut kanak-kanak terbabit.

“Sekalipun membedahnya, kami pasti sukar menemui magnet yang terlalu kecil itu tanpa merosakkan tisu badannya,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.