Lelaki Berpakaian Pengebom Bunuh Diri Serah Diri

Seorang lelaki yang dipercayai berpakaian ala pengebom bunuh diri pada 28 Okt lepas ditahan semalam selepas dia tampil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Zani Che Din berkata suspek berusia 35 tahun yang berasal dari Sana’a, Yaman itu hadir menyerah diri kira-kira 6 petang semalam.

Dalam satu kenyataan semalam beliau berkata suspek akan direman hari ini dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Selasa lepas, Mohd Zani berkata pihak polis sedang menjejaki seorang lelaki yang berpakaian ala pengebom bunuh diri ketika menghadiri sebuah majlis sambutan Halloween di sebuah kondominium di Damansara di sini, pada 28 Oktober lepas,

Menurut Mohd Zani seorang penduduk di kondominium berkenaan memaklumkan kepada polis ada melihat lelaki memakai pakaian sedemikian ketika menaiki lif.

Kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Cuba seludup dadah ke lokap

Sementara itu, di Johor Bahru, polis menahan seorang lelaki warga emas ketika cuba menyeludup dadah ke dalam lokap Balai Polis Kluang, tiga hari lepas.

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Mohamad Laham berkata lelaki berumur 60 tahun itu datang ke balai polis berkenaan kira-kira 11 pagi dengan alasan mahu menyerahkan beg kepada anak perempuannya yang ditahan di dalam lokap atas kesalahan dadah.

“Hasil pemeriksaan beg itu, anggota Pejabat Pertanyaan Balai Polis Kluang menemui seunit power bank di dalamnya mengandungi sepaket plastik lut sinar berisi dadah jenis heroin seberat 13.98 gram dan sepaket plastik lut sinar berisi dadah jenis syabu seberat 0.98 gram dianggar bernilai hampir RM1,500,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Mohamad berkata ujian saringan air kencing mendapati warga emas tersebut positif dadah jenis morfin dan mempunyai rekod jenayah lampau.
Lelaki itu ditahan reman sehingga 15 Nov ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952, katanya.

Dalam kes lain, Mohamad berkata pihaknya percaya telah menumpaskan kegiatan curi motosikal di sekitar bandar ini dengan penahanan tujuh remaja lelaki dan dua perempuan berumur 13 hingga 18 tahun, pada Selasa dan Rabu lepas.

Beliau berkata polis berjaya menahan mereka selepas penahanan pertama terhadap dua remaja lelaki yang disyaki terlibat mencuri motosikal di Taman Sri Jaya, Kluang, kira-kira 4 pagi, tiga hari lepas.

Beliau berkata hasil soal siasat, polis berjaya menahan tiga lagi remaja lelaki dan dua remaja perempuan berumur 13 hingga 18 tahun pada 6.30 pagi, hari yang sama, di sebuah rumah di Bandar Seri Impian, Kluang dan seorang lagi remaja lelaki berusia 15 tahun, kira-kira 8.30 pagi, di sebuah rumah di Taman Bersatu, Kluang,” katanya.

Menurut Mohamad, daripada soal siasat juga, polis berjaya menahan seorang lagi remaja lelaki berumur 14 tahun pada 6 petang di sebuah warung di Kampung Melayu, Kluang, keesokan harinya. (Rabu)

Beliau berkata kesemua yang ditahan negatif terhadap dadah, namun, dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah.

“Selain penahanan, polis turut merampas sejumlah barang bernilai RM4,000 termasuk pemotong besi, tiga motosikal dan pelbagai jenis peralatan untuk meleraikan komponen motosikal,” katanya.

Kesemua mereka ditahan reman sehingga 15 November bagi siasatan mengikut Seksyen 379A kerana mencuri kenderaan motor.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.