Dynas, Shazrik Kahwin April Depan

SETELAH tiga tahun menyulam cinta dan akhirnya mengikat tali pertunangan pada 28 Oktober lalu, pelakon jelita, Dynas Mokhtar kini bersedia kembali menggalas peranan sebagai isteri buat bakal suami, Shazrik Din.

Mengakui sepanjang tempoh perkenalan tersebut, kedua-duanya saling mengambil peluang untuk mengenali hati budi masing-masing sekali gus memberi peluang buat tunangnya mengenali cahaya mata Dynas, Khyra Khalyssa, 7, dan Mohamed Haqaish, 5, dengan lebih intim.

Dalam masa sama, wanita berusia 34 tahun itu turut menambah kemahiran memasak selain melakukan persediaan mental serta menyusun semula rutin hariannya sementelah bakal bergelar isteri pada April tahun depan.

Meskipun tempoh pertunangannya hanya berbaki lima bulan, Dynas mengakui masih tidak mempunyai sebarang persiapan untuk majlis tersebut.

Katanya yang ditemui pada majlis pelantikan duta produk kecantikan Nigella Therapy baru-baru ini, acara akad nikah bakal dilangsungkan di kediamannya di Shah Alam, Selangor namun, lokasi resepsi majlis masih tidak diketahui termasuk persediaan meraikan hari bahagianya pada tahun depan.

KOSMO!: Tahniah atas berita pertunangan Dynas pada Oktober lalu bersama Shazrik Din. Jadi bolehkah kongsikan mengenai perancangan atau tarikh kalian berdua akan berkahwin?

DYNAS MOKHTAR: Alhamdulillah dan terima kasih. Kami merancang untuk berkahwin pada April depan, namun tarikh majlis akad nikah masih belum dapat ditentukan kerana perlu mendapatkan pengesahan mengenai lokasi resepsi. Setelah segalanya berjaya ditetapkan, insya-Allah saya akan umumkan kepada semua kelak.

Apakah persediaan perkahwinan yang telah anda lakukan?

Kami masih tidak membuat sebarang persiapan. Bagaimanapun, kami akan cuba untuk melakukannya secara perlahan-lahan dan berbincang sama ada menerima tajaan atau tidak. Mohon doa yang terbaik buat kami dan segala perancangan berjalan lancar.

Sekiranya tidak keberatan bolehkah anda kongsikan bagaimana kalian berdua saling mengenali sekali gus merancang untuk mendirikan rumah tangga?

Kami saling mengenali sejak usia remaja iaitu ketika saya berumur 17 manakala dia 18 tahun. Selepas itu kami tidak berhubung sehingga bertemu semula sekitar tiga tahun lalu dan berkawan seperti biasa.

Barangkali sudah dinamakan jodoh, kami berjumpa dan saling mengenali hati budi masing-masing. Menarik tentang Shazrik, dia tidak terlalu terpengaruh dengan cara lamaran yang sering kita lihat masyarakat barat lakukan.

Kami masih mengekalkan kesantunan budaya masyarakat Melayu dengan melakukan adat merisik sekali gus pertama kali kedua-dua belah keluarga saling bertemu dan mengenali. Selepas keluarga berkenalan, pada majlis tersebut, kami sepakat untuk mengadakan pertunangan dan dia mula meluahkan hasrat untuk berkahwin dengan saya.

 

DYNAS bersama tunangnya, Shazrik dan dua anak, Khyra Khalyssa dan Mohamed Haqaish sewaktu majlis pertunangannya pada 28 Oktober lalu.

Bolehkah kongsikan mengenai konsep atau majlis perkahwinan impian anda bersama Shazrik kelak?

Saya menyerahkan keputusan kepada Shazrik sama ada untuk dilakukan secara besar-besaran atau tidak. Biarpun perkahwinan kedua buat saya tetapi ia pertama bagi Shazrik. Kami mengharapkan agar jodoh ini akan berpanjangan dan kekal hingga ke akhir hayat.

Sekiranya bercerita mengenai konsep, mengikut perancangan, majlis akad nikah akan diadakan di kediaman saya di Shah Alam yang bertemakan tradisional manakala bagi resepsi, kami memilih gaya moden.

Adakah anda bersedia untuk kembali menggalas peranan sebagai isteri?

Setelah serius mengenali Shazrik, saya sentiasa bersedia menjadi isterinya. Persediaan itu mungkin lebih kepada saya melengkapkan diri dengan kemahiran memasak dan juga mengatur rutin harian yang dahulunya lebih kepada diri sendiri dengan cahaya mata Khyra Khalyssa dan Mohamed Haqaish tetapi pada masa akan datang saya perlu menguruskan kelengkapan suami.

Bagaimanakah hubungan dua cahaya anda dengan bakal suami?

Pada awalnya memang kekok kerana dia tidak pernah berkahwin mahupun mempunyai anak sebelum ini. Jadi pastinya ia satu perkara canggung untuk dilakukan.

Namun, sepanjang tempoh tiga tahun kami berkawan, saya melihat perubahan tidak hanya pada Shazrik tetapi juga anak-anak. Mereka semakin rapat dan saling menerima kehadiran masing-masing.

Apakah harapan anda buat perkahwinan kedua ini?

Saya mengharapkan untuk menjadi individu yang lebih baik pada masa akan datang. Dalam masa sama, saya mengharapkan agar dapat menjalankan tanggungjawab dan menjadi isteri seperti yang diimpikan oleh Shazrik.-Kosmo

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.