Aizat Pernah Berkarya Kejar Anugerah

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer, Aizat Amdan, 28, mengakui pernah pada satu ketika dirinya hanya mahu menghasilkan karya yang dikhususkan bagi memenangi pertandingan.

Namun katanya, keinginan sebegitu tidak lama apabila kini dia selesa menerbitkan lagu seperti pada awal pembabitannya dalam dunia hiburan, yang menjurus kepada kepuasan diri.

“Waktu mula mencipta lagu, saya puas apabila dapat menghasilkan karya yang disukai insan terdekat selain diri sendiri. Perasaan itu sukar diungkapkan apabila pendengar menghargainya.

“Kemudian, muncul pula fasa saya teruja menghasilkan lagu yang saya rasa boleh menang dalam pertandingan. Tetapi, rasanya kini saya kembali macam dulu, buat lagu sebab saya menyukainya,” katanya.

Aizat yang kini dalam proses pembikinan album baharu turut bertanding dalam Separuh Akhir Muzik Muzik (SFMM) 32 bersaing dengan 29 karya lain untuk mara ke Anugerah Juara Lagu (AJL) pada Februari depan.

Enggan menaruh harapan, katanya single Jangan Menangis hasil ciptaannya bersama Faizal Tahir dan Mike Chan sudah cukup istimewa buat mereka apabila diilhamkan rentetan ekspedisi 1Moment4them bagi membantu rakyat Syria pada 2013.

Melihat lagu lain sebagai karya hebat, ulas Aizat yang pernah membawa pulang trofi Lagu Terbaik (Pergi) dan Persembahan Terbaik (Kau Aku) pada AJL 2009, semua penyanyi yang bertanding mempunyai semangat luar biasa.

Ahad ini, sebanyak 10 lagu lagi bakal diperdengarkan sebelum juri profesional mengumumkan 12 dendangan pilihan yang layak berentap di pentas AJL 32. Siaran langsung program berkenaan akan dapat diikuti menerusi TV3, mulai jam 10 malam.

Sementara itu, kongsi bintang kelahiran Akademi Fantasia ini, selain sibuk di studio, dia kini menggerakkan semula vlog di YouTube (@officialAizatAmdan) selepas terhenti hampir dua tahun berikutan kesibukannya.

“Vlog ini diaktifkan semula selepas ramai yang mahu mengikuti aktiviti seni saya dengan lebih dekat. Memang kita boleh berkongsi aktiviti diri dan kerjaya di Instagram mahupun Twitter, namun menerusi vlog, durasi videonya lebih panjang.

“Paling utama, saya berpeluang berkongsi video lagu yang cantik dan lebih memuaskan hati. Setakat ini, rakaman dan proses suntingan banyak dibantu abang saya,” katanya lagi.-bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.