Suami Isteri Berdepan Detik Cemas Diacu Perompak Bertopeng Dan Berpisau

PUTRAJAYA – Sepasang suami isteri berdepan detik cemas kira-kira 40 minit apabila kediaman mereka di Presint 15 di sini, dimasuki empat perompak bertopeng dan bersenjatakan pisau, awal pagi Rabu.

 

Menurut mangsa yang enggan identitinya dikenali berkata suspek memasuki rumahnya dengan mengumpil pintu belakang, sebelum ke tingkat atas dan menuju ke bilik utama.

 

“Kejadian berlaku kira-kira 5.30 pagi ketika saya bangun bersiap ke surau di Presint 14 untuk menunaikan solat Subuh berjemaah.

 

“Suspek kemudian mengikat tangan dan kaki saya serta isteri menggunakan dawai elektrik dan pengikat langsir sebelum bertanya di mana wang tunai dan barang berharga disimpan,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini.

 

Mangsa yang berkhidmat di syarikat milik kerajaan berkaitan pembinaan rumah mampu milik, berkata beliau turut merayu kepada perompak terbabit agar tidak mengapa-apakan tiga anaknya yang sedang tidur di bilik bersebelahan.

 

Katanya suspek melarikan wang tunai RM3,000, barang kemas, beberapa jam tangan berjenama dan empat telefon bimbit dengan kerugian dianggar berjumlah RM15,000.

 

Mangsa yang berusia 38 tahun berharap agar pihak polis dapat meningkatkan rondaan keselamatan di kawasan perumahannya memandangkan sudah lima kes samun berlaku di kawasan berkenaan, sejak awal tahun ini.

 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Rosly Hassan ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.