Penonton Bola Sepak Malaysia Ganas, Tiada Disiplin, Kata Penyokong JDT

“Saya sifatkan penonton bola sepak kita dengan penonton bola sepak Tajikistan umpama bumi dan langit sebab tahap disipilin mereka amat mengagumkan walaupun kalah kepada JDT pada perlawanan akhir Piala AFC minggu lepas.”

 

Itu kata penyokong pasukan Johor Darul Takzim (JDT) dari Kelab Boys Of Straits, Mohamad Hafizuddin Tukimin yang berada di Stadium Republican Central di Dushanbe, Tajikistan untuk memberi sokongan kepada JDT.

 

Pengalaman lima hari di sana bersama 17 penyokong lain cukup menarik untuk dikongsi terutama bab kesanggupan mereka mengeluarkan duit sendiri semata-mata untuk menyokong JDT.

 

“Tak ada siapa yang taja kami tetapi demi sayangkan JDT, kami cari duit sendirilah. Ada yang sanggup jual motor, telefon bimbit dan sebagainya bagi mencukupkan duit untuk ke sana yang paling sedikit perlu disediakan adalah RM8,000 termasuk tambang dan penginapan.

 

“Ketika di Tajikistan, kami tinggal dalam asrama seramai 18 orang dan tidak boleh berpisah atau bergerak sendiri kerana visa kami berkumpulan. Banyaklah masalah yang terpaksa kami lalui untuk ke sana tetapi syukurkah akhirnya sampai jua walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai soal jawab ketika di lapangan terbanga Tajikistan,” katanya.

 

Cerita Mohamad Hafizuddin, sesuatu yang memang menyentuh hatinya adalah sikap penonton bolasepak Tajikistan yang amat tenang ketika menyaksikan perlawanan.

 

“Mereka bersorak tanpa mengeluarkan kata-kata kesat walaupun kami tak faham sebab polis yang mengawal di stadium sentiasa memerhati gelagat penonton. Bila ada seorang penonton yang berdiri dan cuba tinggikan suara, polis bertugas terus datang dan mengarahkannya keluar stadium dan arahan tersebut dipatuhi tanpa pertelingkahan seolah-olah penonton itu sedar akan kesalahan yang dilakukan.

 

“Saya tak dapat bayangkan bagaimana reaksi penonton kita kalau polis bertindak sedemikian di mana-mana stadium di Malaysia sebab kalau polis itu tidak kena maki, pasti akan berlaku pergaduhan,” katanya.

 

Ujarnya lagi, apabila semua tiga gol yang dijaringkan oleh FC Istiklol dibatalkan pengadil, tiada sorakan bantahan oleh penonton sebagaimana yang sering dilakukan oleh penonton negara kita jika berlaku pembatalan sedemikian dalam perlawanan.

 

“Tidak langsung ada suara yang menjerit atau memarahi pengadil yang telah membatalkan tiga gol yang dijaringkan pasukan mereka sebaliknya mereka bercakap sesama sendiri. Kalaulah ini berlaku di negara kita, saya yakin sangat penonton bukan sahaja mengamuk malah segala bentuk objek termasuk suar sudah pun dilemparkan ke dalam padang.”

 

“Melihatkan semua ini, saya bertanya kepada diri sendiri alangkah menariknya jika penonton negara kita boleh berdisipin hingga ke tahap itu,” jelasnya.

 

Menjawab soalan kenapa hanya 18 orang penyokong sahaja yang pergi ke Tajikistan, kata Mohamad Hafizuddin, keputusan itu dibuat oleh kelab.

 

“Memang sengaja kelab menghantar 18 orang sebab bimbang jika terlalu ramai, mungkin ada yang terbawa-bawa perangai di sini ketika menyaksikan perlawanan akhir di sana.

 

“Lagipun, tak ramai yang ada duit untuk pergi secara mengejut begitu selain kekangan kerja yang sukar untuk mendapat cuti daripada majikan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.