Tesis Ciplak: Abu Hassan Kecewa Dituduh Lakukan Plagiat

Oleh: Zulkifli Mat Rawi

Kuala Lumpur – “Saya masih penjawat awan dan terikat dengan arahan pihak atasan” itu antara komen Dekan Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW) UMK, Prof Dr Abu Hassan Hasbullah apabila diminta mengulas isu ‘tesis ciplak’ yang kaitkan dengan dirinya sebelum ini.

Menurut Abu Hassan beliau telah diminta oleh pengurusan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) untuk tidak memberikan sebarang kenyataan sehingga siasatan ke atas kes ini selesai.

“Pihak pengurusan telah minta saya agar jangan memberi apa-apa respon atau mengambil sebarang tindakan kerana kes ini masih dalam siasatan” katanya ketika dihubungi SuaraTV sebentar tadi.

Menurutnya kes yang dibangkitkan ini telah lama kerana ia berlaku ketika dirinya masih menuntut di University of Vienna.

Beberapa orang kakitangan akademik UMK sebelum ini mendedahkan kepada SuaraTV berhubung salah laku jenayah dan penipuan akademi yang didakwa dilakukan oleh bekas pensyarah Universiti Malaya itu ketika menyiapkan tesis kedoktorannya.

Abu Hassan berdepan dengan tuduhan plagiat apabila seorang pensyarah di universiti yang sama tampil membuat laporan polis pada 1 November lalu di Balai Polis Bachok, Kelantan.

Di dalam laporan polis tersebut, persyarah terbabit mendakwa menemui bukti yang menunjukkan tesis Abu Hassan tidak sah untuk penilaian akademik kerana telah ‘diciplak’ dari sebuah buku yang ditulis oleh Viola Shafik bertajuk ‘Arab Cinema History And Cultural Identity’.

“Selepas baca laporan pendedahan yang dibuat oleh SuaraTV, saya agak terkejut dan perlu rujuk balik dengan pihak Universiti of Vieana kerana pada ketika itu proses pengajiannya agak berbeza.

“Apa yang boleh dikatakan pada ketika ini, saya bersama pihak pengurusan UMK perlu berjumpa balik dengan pensyarah saya di sana” ujarnya lagi.

UMK sebelum ini menafikan berlaku plagiat dalam kalangan ahli akademik universiti berkenaan.

Naib Canselornya, Datuk Dr Raduan Che Rose ketika ditanya berkata pihaknya memandang serius dakwaan itu dan telah melakukan siasatan.

“Ini satu kes serius dan saya telah menyiasat perkara itu dengan memanggil kedua-dua individu terlibat iaitu individu yang kena tuduh dan individu yang membuat tuduhan untuk menyelesaikan perkara ini.

Saya dapati ini disebabkan sedikit salah faham sahaja,” katanya memetik laporan Bernama selepas Majlis Anugerah Citra 2014 UMK di Kampus Pengkalan Chepa baru-baru ini.

Raduan yang juga merupakan Setiausaha Agung Majlis Profesor Negara turut menjelaskan, isu kredibiliti akademik menjadi satu perkara yang sangat penting dan pihaknya tidak ada toleransi sekiranya ia benar-benar berlaku.

Menurut Abu Hassan lagi ekoran pendedahan terbaru yang dikeluarkan, pihak pengurusan universiti telah memanggilnya untuk mengemukakan apa sahaja salinan atau dokumen yang berkaitan dengan isu ‘tesis ciplak’ ini.

“Saya agak kecewa kerana tidak diberikan ruang untuk menjawab, tambahan pula sebagai penjawat awam ada beberapa kengkangan yang perlu saya ikut dan patuhi.

“Pihak pengurusan (UMK) sedang melakukan siasatan dan mereka kemungkinan akan ke sana atau meminta Universiti of Viena mengahantar wakil mereka ke sini bagi menyelesaikan isu ini.

“Saya sedih dan merasakan pendedahan (dakwaan) ini terlalu kejam, kerana setelah berkorban hampir 30 tahun dalam bidang akademi dan datang ke Kelantan perkara seperti ini dilemparkan kepada saya” katanya lagi.

Beliau turut menjelaskan sebaik sahaja proses siasatan diselesaikan satu satu sidang akhbar khas akan diadakan bagi menjelaskan perkara sebenar.

“Mereka akan selesaikan siasatan ini sebelum 20 November dan sebaik sahaja proses siasatan selesai saya akan meminta izin untuk mengadakan sidang akhbar bagi menjelaskan perkara sebenar.

“Sekiranya saya salah (keputusan siasatan) saya akan jelaskan begitu juga sebaliknya” ujarnya mengakhiri perbualan.

 

Baca: Kakitangan Akademik UMK Dedah Bukti, ‘Tesis Ciplak’ Prof Abu Hassan?

 

Baca: VC UMK Cuba Tutup Mata, Isu ‘Ciplak Karya’ Prof Abu Hassan?

 

Baca: UMK Nafi Prof Abu Hassan Terbabit ‘Ciplak Karya’ Orang

 

Baca: Ciplak Karya: Pensyarah UMK Mengaku Buat Laporan Polis Terhadap Prof Abu Hassan

 

Baca: Sumber Dalaman UMK Dakwa Profesor Plagiat Mohon Letak Jawatan

 

Baca: Gara-Gara Laporan Profesor Dituduh Plagiat, UMK Tutup Akses Website?

 

Baca: Ahli Majlis Profesor Negara, Profesor UMK Dituduh Ciplak Untuk Tesis Phd?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.