Sempat Laungkan Allahuakbar

Kuala Pilah – “Ketika itu kami hanya fikirkan anak-anak dan sempatkan melaungkan Allahuakbar,” kata salah seorang mangsa, Kamariah Nasruddin, 35, yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 11, Jalan Kuala Pilah-Batu Kikir, kelmarin.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira 3 petang itu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian melibatkan tiga kenderaan itu, petang kelmarin.

Kata Kamariah, ketika kejadian, dia dan suaminya, Abdul Hadi Ibrahim, 36, dua anaknya berumur 6 dan 3 tahun serta kedua ibu bapanya, dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur setelah menghadiri kenduri kahwin di Felda Raja Alias, Jempol.

“Saya nampak kereta Proton Exora dari arah Kuala Pilah memasuki laluan bertentangan dan menuju tepat ke arah kereta Perodua Alza dipandu suami saya.

“Saya sempat menjerit menyuruh suami mengelak tetapi kejadian begitu pantas.

“Walaupun kami cuba elak, kereta terbabit yang dipandu laju telah merempuh bahagian kanan kereta kami menyebabkan kereta berpusing sebanyak tiga kali,” katanya di sini, semalam.

Dalam masa sama, katanya, Proton Exora terbabit turut merempuh sebuah lagi kereta Proton Saga yang dipandu adiknya, Mohd Khalid Nasruddin, 28, bersama isteri dan seorang anaknya berusia 3 tahun.

Kata Kamariah, akibat rempuhan kuat itu menyebabkan tayar semua kenderaan terbabit tercabut.

“Bahagian tepi kanan kereta juga kemek. Namun saya bersyukur kerana kami semua terselamat tetapi adik dan isteri serta anaknya telah dihantar oleh orang awam ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah untuk menerima rawatan lanjut.

“Difahamkan, pemandu dan tiga penumpang kereta Proton Exora turut dikejarkan ke HTAN oleh orang awam,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Azmi Abdul Rahim mengesahkan kejadian ini.

Beliau berkata punca kejadian akan disiasat.

“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Azmi turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu kerana kecuaian boleh mendatangkan bahaya kepada orang lain. – Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.