Rundingan Pusingan Akhir TPP Awal Tahun Depan – Najib

Oleh: Azlina Aziz

Beijing – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pada prinsipnya, kesemua 12 negara yang terlibat dalam Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) bersetuju rundingan pusingan akhir pelaksanaan TPP diadakan awal tahun depan.

Para pemimpin dari 12 negara terlibat dalam rundingan TPP yang bermesyuarat di luar acara Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) pada Isnin, bagaimanapun turut bersetuju rundingan tertakluk kepada beberapa perkara.

Mesyuarat itu telah dipengerusikan oleh Presiden Amerika Syarikat Barack Obama.

“Saya memaklumkan kita mempunyai beberapa bidang yang sensitif dan dekat dengan polisi dalaman, terutamanya dalam soal agenda Bumiputera, syarikat milik kerajaan dan kita mahu negara-negara TPP memberi memberi kelonggaran dalam mempertimbangkan permintaan Malaysia,” kata Najib kepada media Malaysia di sini.

Negara yang berunding dalam TPP ialah Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat dan Vietnam.

Perdana Menteri berkata, sekiranya ini dapat dilakukan, mungkin apa yang Malaysia tuntut selama ini iaitu mengikut kehendak sendiri dapat dicapai.

“Tempoh agak begitu ketat tetapi kita cuba, kalau tak dapat, kita tengoklah perkembangan selanjutnya.

“Saya menjangkakan rundingan ini akan begitu menekankan rundingan yang intensif yang perlu dilakukan dalam beberapa bulan akan datang ini,” katanya.

Najib berkata Malaysia komited terhadap apa yang akan dilakukan perlu mendapat kelulusan daripada Dewan Rakyat.

Mengenai Majlis Penasihat Perniagaan Apec (ABAC), Najib berkata perbincangan bertumpukan kepada liberalisasi perdagangan, Kawasan Perdagangan Bebas Asia Pasifik (FTAAP), perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pemerkasaan wanita, pembangunan prasarana dan kewangan serta Forum Kewangan Asia Pasifik (APFF).

“Saya membangkitkan dua bidang yang berpotensi di mana Malaysia boleh memberi sokongan kepada APFF iaitu melalui pasaran modal, perkongsian awam swasta dan penerbitan sukuk,” kata beliau.

Perdana Menteri turut berkongsi insiatif Malaysia dalam memudahkan pembiayaan bagi PKS selain pembiayaan bank konvensional seperti melalui pembiayaan mikro modal teroka dan skim kerajaan.

Selain itu, turut dibangkitkan ialah langkah-langkah yang diambil oleh Malaysia untuk memperkasa wanita dalam ekonomi melalui peningkatan penyertaan mereka dalam membuat keputusan, menambah akses mereka kepada modal serta meningkatkan keupayaan dan kemahiran mereka. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.