Razif Sidek Dakwa Sudah Tahu Lama, Isu Dadah Libatkan Chong Wei?

Kuala Lumpur -Bekas pemain negara, Razif Sidek mendakwa Datuk Lee Chong Wei sudah lama mengambil dadah (yang dijumpai dalam ujian doping) dan sanggup mengupah seorang doktor untuk tujuan itu.

Ujarnya, ramai pegawai termasuklah pemain-pemain dalam Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengetahui perkara itu namun didiamkan kerana ia melibatkan jaguh nombor satu negara.

“Sebelum ini susah nak bercakap sebab tiada bukti kukuh. Kali ini dia sudah terkena, saya tidak mahu tuduh tetapi sebenarnya perkara ini sudah lama.

“Boleh dikatakan pemain senior dan pegawai tahu perkara ini. Malah, perkara ini turut mendapat pengetahuan daripada pemain-pemain junior tetapi mereka sedar bahawa atlet ini melibatkan wira kebangsaan kita.

“Saya difahamkan dia mengambil dadah ini dan sanggup mengupah doktor itu datang ke sini semata-mata untuk menggunakan bahan terlarang berkenaan.

“Bukankah saya cakap sebelum ini? Saya bukan jenis individu buat tuduhan melulu, tetapi kisah ini telah dimaklumkan kepada saya oleh beberapa individu dalam persatuan itu sendiri,” ujarnya.

Keluarga Sidek baru-baru ini dilihat bertelagah mengenai keputusan positif bahan terlarang jenis ‘dexamethasone’ yang dihadapi ikon badminton negara.

Bagaimanapun, ketua jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek pula kini dilihat berada di pihak pemain tersebut selain bersedia memberi keterangan di hadapan Jawatankuasa Panel Pendengaran Persekutuan Badminton Dunia (BWF) berhubung kes doping membabitkan jaguh badminton negara itu.

Rashid juga melahirkan keyakinan beliau tidak bersalah kerana pemain nombor satu dunia itu sentiasa berpegang kepada prinsip ‘tiada jalan pintas’ untuk meraih kejayaan dalam sekelip mata.

“Bagi saya, beliau tidak bernasib baik (dalam kes doping ini). Secara jujur, dia seorang pemain yang baik dan mempunyai komitmen tinggi (dalam sesi latihan). Dia dapat atasi segala rintangan sebelum berada di mana dia sekarang.

“Secara terbuka, saya memang sentiasa memberi sokongan kepada beliau. Saya sudah lama melatih dia selain mengenali karakternya yang jujur,” katanya.

Dalam pada itu, bekas perseorangan utama negara Ong Ewe Hock pula mengganggap jaguh badminton itu tersilap langkah apabila terlalu mahu menjaga statusnya sebagai pemain nombor satu dunia.

Jelasnya, tuntutan untuk selalu beraksi di pentas tertinggi pada usia 32 tahun adalah antara faktor mengapa beliau memerlukan rawatan secara konsisten untuk proses pemulihan daripada pelbagai kecederaan.

Ikon badminton negara itu dilaporkan positif ujian doping bagi Sampel A iaitu ujian air kencing yang dilakukan secara rambang semasa Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark, Ogos lalu.

Beliau dikatakan terbabit dalam skandal doping selepas disahkan positif menggunakan bahan terlarang ‘dexamethasone’ semasa ujian dijalankan. – Astro Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.