Penstrukturan Semula Subsidi Minyak Sukar Dilaksanakan – Tun M

Bangi – Perlaksanaan penstrukturan semula subsidi minyak berdasarkan pendapatan dilihat sukar untuk dilaksanakan secara efektif.

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata ia sukar dilakukan kerana mungkin ada pihak yang mempunyai pendapatan lebih tetapi tidak mengisytiharkannya kepada kerajaan dan tidak selesa untuk mendedahkan gaji mereka kepada orang lain.

“Oleh itu, cara yang boleh dilakukan ialah semua pihak perlu membayar minyak pada harga penuh kemudiannya dapatkan resit yang sah dan membuat tuntutan subsidi berkenaan pada hujung bulan.

“Rakyat Malaysia sudah tentu mempunyai kad pengenalan yang memudahkan untuk dikenal pasti dan mereka yang bukan rakyat Malaysia perlu bayar pada harga penuh. Saya rasakan kaedah ini lebih sesuai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media menyampaikan ucaptama dan merasmikan Seminar Antarabangsa Sosial Sains dan Kemanusian 2014 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini.

Tun Mahathir berkata, kerajaan sememangnya perlu untuk mengurangkan subsidi dan ia juga perlu dilakukan dengan tidak membebankan mereka yang berpendapatan rendah.

Jelas beliau, oleh itu terpulang kepada kerajaan untuk membuat keputusan kerana mereka mempunyai kuasa untuk melaksanakannya.

“Namun begitu, sekiranya keputusan yang dilakukan itu tidak digemari rakyat, maka mungkin mereka boleh tewas dalam pilihan raya akan datang,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.