Pasangan Suami Isteri Mengaku Bersalah, Sebarkan Ajaran Millah Abraham

Kuala Lumpur – Seorang pengusaha bengkel mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah di sini terhadap pertuduhan mengembangkan kepercayaan agama yang dikenali sebagai ajaran Millah Ibrahim@Abraham.

Kamarudin Annuar, 48, membuat pengakuan itu ketika kesnya disebut di hadapan Hakim Syarie Ibrahim Deris.

Mengikut pertuduhan, Kamarudin didakwa mengembangkan doktrin atau kepercayaan agama selain agama Islam yang dikenali sebagai ajaran Millah Ibrahim@Abraham di premis perniagaan, tingkat 2, B-2-3, Blok B, Jalan 2/142A, Megan Phoenix, Jalan Cheras di sini antara 9 hingga 9.25 malam, 20 Oktober lepas.

Tertuduh lain iaitu pasangan suami isteri Mohamad Harizal Kamaruddin, 36, dan Nur Ridah Osman, 26, turut mengaku bersalah terhadap pertuduhan bersubahat mengambil bahagian dalam majlis mengembangkan kepercayaan itu di tempat dan masa yang sama.

Pertuduhan terhadap Kamarudin dibuat mengikut Seksyen 5, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997) yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.

Pertuduhan terhadap Mohamad Harizal dan Nur Ridah pula dibuat mengikut Seksyen 43(b), Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997) yang membawa hukuman sama.

Bagaimanapun, mahkamah menangguhkan hukuman ke atas mereka sehingga 10 Disember ini bagi meneliti hujahan dan dokumen berkaitan.

Sementara itu, lima tertuduh iaitu Johan Haruna, 40; Mahamad Azhari Tajudin, 43; dan isterinya yang sarat mengandung Liliwati Eden, 36; Anuar Zainal, 47, dan Kamalia Mohamed Taib, 34, yang membuat pengakuan tidak bersalah terhadap pertuduhan sama pada 6 November lepas masih mengekalkan pengakuan mereka.

Peguam Siti Maisarah Hashim, mewakili kelima-lima tertuduh itu, memohon supaya semua anak guamnya yang sebelum ini ditahan di penjara, dilepaskan dengan jaminan atas alasan mereka memberi kerjasama yang baik, sehingga selesai perbicaraan.

Empat lagi tertuduh, Zakaria Mat Kasa, 35; Mohd Arif Abd Aziz, 33; Heffy Syamsuar, 32; dan Abdul Azim Abdullah, 29, gagal menghadiri prosiding hari ini, dan mahkamah memerintahkan penjamin masing-masing memastikan kehadiran mereka pada prosiding akan datang selain melanjutkan waran tangkap terhadap tertuduh.

Mahkamah turut melanjutkan waran tangkap terhadap dua lagi tertuduh iaitu Amirol Hafiz Mohd Samad, 24, dan Aizul Farikh Zainal Abidin, 39, serta memerintahkan waran tangkap dikeluarkan ke atas penjamin kerana tidak hadir di mahkamah dan gagal dikesan.

Hakim Ibrahim kemudian membenarkan semua tertuduh yang hadir diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin setiap seorang dan menetapkan tarikh sama (10 Disember) untuk sebutan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Syarie Kanan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Zainor Rashid Hassin.

Semua tertuduh ditahan Jawi dalam serbuan pada 20 Oktober lepas atas maklumat terdapat kumpulan mengembangkan ajaran agama berunsur campuran antara agama Islam, Kristian dan Yahudi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.