Kerajaan Negeri Sembilan Failkan Rayuan, Perlu Dilihat Dari Aspek Agama

Negeri Sembilan – Kerajaan Negeri Sembilan akan memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan secepat mungkin berhubung keputusan Mahkamah Rayuan bahawa undang-undang jenayah syariah Negeri Sembilan yang memperuntukkan hukuman terhadap golongan lelaki berpakaian wanita di tempat awam melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata kerajaan negeri menghormati keputusan Mahkamah Rayuan namun berpendapat kes ini perlu didengar semula oleh Mahkamah Persekutuan kerana Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) itu perlu dilihat dari segi aspek agama, bukannya aspek-aspek yang lain.

“Jadi, kita akan tekankan di situ bahawa ini adalah hukum yang terbitnya dari sumber agama. Jadi, saya akan failkan secepat mungkin dan saya akan membawa juga Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) sebagai pencelah.

Saya harap semua majlis agama Islam di negeri-negeri yang lain akan bersama-sama untuk mencelah dalam rayuan kita,” katanya hari ini.
Katanya kes ini amat penting dan jika tidak ditangani dengan baik ia akan membuka suatu keadaan yang mana akan terjadi sesuatu yang amat tidak baik kepada kesucian agama Islam di negara ini.

“Kita akan dapatkan peguam yang bagus untuk memfailkan rayuan,” kata Mohamad.

Pada Jumaat lepas, Mahkamah Rayuan mengisytiharkan sebagai tidak sah ketetapan Undang-Undang Syariah Negeri Sembilan bahawa golongan lelaki Islam berpakaian seperti wanita adalah perbuatan jenayah dan tidak sah di sisi perlembagaan.

Panel tiga hakim mahkamah itu yang dipengerusikan Hakim Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus membuat ketetapan tersebut selepas membenarkan rayuan tiga lelaki yang bekerja sebagai mak andam untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Seremban, Negeri Sembilan yang menolak semakan kehakiman mereka bagi mencabar undang-undang syariah itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.