Kerajaan Digesa Tambah Warden Elak Kes Buli Terus Berlaku

Kuala Lumpur – Kesatuan Guru-Guru Melayu Barat menggesa agar kerajaan menambah bilangan warden asrama bagi mengekang masalah buli dalam kalangan pelajar di sekolah terus berlaku.

Menurut Presidennya, Datuk Mohamed Sabri Mohd Arsad, jumlah warden yang ramai bakal memudahkan proses pemantauan sebarang aktiviti pelajar semasa tinggal di asrama.

“Sekarang ini bagi seorang warden mereka perlu menjaga 50 orang pelajar dan saya rasa tugas ini berat untuk dilaksanakan. Besar kemungkinan warden akan terlepas pandang.

“Langkah terbaik yang saya sarankan adalah bagi seorang guru mereka akan menjaga 25 orang pelajar,” katanya pada sidang media Mesyuarat Jawatankuasa Induk Konvensyen Perpaduan Nasional, di Kelab Sultan Sulaiman.

Baru-baru ini, media melaporkan pelbagai video kes buli membabitkan pelajar sekolah berasrama mula tersebar di media sosial sehingga menimbulkan rasa marah, tidak tenteram dan kurang senang dalam kalangan masyarakat.

Mohamed Sabri menambah, kerajaan juga seharusnya mengkaji semula pemberian elaun kepada warden yang didakwa begitu rendah.

“Sekarang elaun warden hanya RM240 sebulan dan jumlah ini sedikit jika dibandingkan dengan tanggungjawab yang dipikul.

“Kenaikan elaun ini jika dilihat dari sudut positif mampu menaikkan semangat warden menjalankan tugas mereka,” ujarnya.

Beliau juga meminta pihak sekolah mahupun asrama tidak menyembunyikan sebarang kes buli yang berlaku daripada pengetahuan pihak berkuasa.

“Kita bukan mahu malukan pihak sekolah tetapi kita tidak mahu perkara tersebut terus menular dan menjadi barah dalam kalangan pelajar,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar diperkenalkan bilik warden berdekatan bilik pelajar agar sebarang masalah yang berlaku dalam kalangan pelajar dapat dikesan dengan lebih awal.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.