Isu Pondan: Dr Mahathir Saran Buat Keputusan Dengan Adil

Bangi – Keputusan Mahkamah Rayuan mengisytiharkan peruntukan Enakmen Agama Islam Negeri Sembilan yang menghalang lelaki Islam berpakaian dan berkelakuan seperti wanita, bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan perlu dilihat secara menyeluruh.

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata dalam Islam proses untuk menghukum seseorang itu perlu dilakukan secara adil.

Menurutnya, untuk berlaku adil maka adalah perlu untuk memberi peluang kepada yang akan dihukum mendengarkan pendapat dan sebab atas perbuatannya itu.

“Orang tahu ada sesetengah individu tidak tentu jantina mereka yang mana dalam keadaan itu mungkin rupa macam lelaki tapi sifat macam perempuan.

“Oleh itu, perkara seperti ini perlu diambil kira dan saya tidak kata hendak tolak pendapat atau fatwa tetapi kena pegang kepada prinsip keadilan,” katanya di sini.

Beliau berkata demikian selepas memberi ucaptama dan merasmikan Seminar Antarabangsa Sosial Sains dan Kemanusiaan 2014 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini.

Dalam pada itu, Tun Dr Mahathir berkata, Sisters In Islam (SIS) perlu dipanggil untuk memberi penjelasan sebelum dihukum.

Jelasnya, keputusan tidak boleh dibuat berdasarkan apa yang dicakap dalam surat khabar mengenai sesuatu perkara dan kerana ia adalah tidak adil.

“Sekali lagi saya tegaskan dalam Islam kena hukum dengan adil dan untuk berlaku adil maka perlu bertanya, selidik dan membuat kajian.

“Sekiranya semua itu sudah dilakukan maka pihak berkenaan kena terima apa sahaja keputusan yang dibuat,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.