Hadi Awang Akui Tak Sihat

Kuala Lumpur – Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengakui tahap kesihatan beliau kurang baik sejak akhir-akhir ini malah tubuh badan beliau dilapor sedikit susut berbanding sebelum ini.

“Rasa tak berapa sihat sikit sejak akhir-akhir ini. Suara pun tak berapa nak keluar,” katanya seperti dilaporkan dalam Harakahdaily semalam.

Laporan itu juga menyebut, Hadi yang juga MP Marang ditemui di Parlimen untuk membahaskan Bajet 2015 di peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat.

Ketika berbahas, suara beliau dilapor sering tersekat-sekat dan presiden PAS itu hanya berbahas tidak lebih dari 10 minit.

Portal berita rasmi PAS itu juga melaporkan presiden parti itu tidak sekerap dahulu dalam memenuhi jemputan ceramah parti pada waktu malam.

“Malam ini pun tak ada program, saya perlu berehat,” katanya dipetik.

Hujung Mei lalu, Hadi dikejarkan ke sebuah hospital di Istanbul, Turki kerana dilapor sesak nafas dan masalah kesihatan.

Beliau menerima rawatan di unit rawatan rapi di Medipol Universitesi Hastanesi, Istanbul.

Malah, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak turut mengarahkan kedutaan Malaysia di negara itu memberi bantuan sewajarnya kepada Hadi.

Sekembalinya daripada Turki selepas itu, Hadi menjalani pemeriksaan perubatan susulan di Institut Jantung Negara (IJN).

Ramai pemimpin dalam PAS menziarahi beliau sama ada di Turki ataupun di Malaysia termasuk Najib yang melawatnya di IJN.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.